HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 Jun 2021

Bukan mudah adakan sidang Parlimen hibrid, kata Speaker Dewan Rakyat

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Harun. 
 
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun membayangkan bukan mudah untuk mengadakan sidang Parlimen secara hibrid kerana beberapa cabaran perlu dihadapi.

Katanya beberapa perincian termasuk aspek undang-undang dan prosedur perlu dipertimbangkan secara teliti, khususnya sepanjang perbahasan secara maya, kerana tidak semua tatacara diamalkan ketika persidangan bersemuka boleh dilakukan.

Beliau memetik contoh sidang Parlimen Australia di mana setiap ahlinya tidak boleh mencelah ketika perbahasan, sebaliknya perlu memberi notis 15 minit sebelum berbuat demikian.

Memetik laporan Malaysia Now, Azhar berkata bahagian yang paling penting disedari ialah ahli Parlimen Australia yang menghadiri sidang tidak mempunyai hak mengundi.

“Jadi, apabila ada yang mengatakan ia adalah satu perkara yang mudah, sebenarnya ia tidak semudah yang disangka,” katanya yang turut menjelaskan kekeliruan mengenai jumlah ahli Parlimen sidang hibrid dengan sidang secara fizikal.

“Ada yang berpendapat hanya 26 ahli Parlimen yang dibenarkan hadir secara fizikal sementara yang lain diminta untuk menyertainya secara maya,” katanya sambil menjelaskan bahawa 26 ahli Parlimen yang diwajibkan hadir secara fizikal harus memenuhi syarat kuorum.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kerajaan sedang mempertimbang untuk mengadakan sidang Parlimen secara hibrid, susulan desakan beberapa pihak supaya Parlimen dibuka walaupun negara berdepan peningkatan penularan pandemik Covid-19.

Sebuah jawatankuasa khas yang turut disertai Takiyuddin, Azhar dan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim serta timbalan masing-masing juga ditubuhkan bagi mengkaji rancangan mengadakan sidang hibrid itu.

Sementara itu Azhar membalas kritikan pihak yang mendesaknya membuka semula Parlimen kerana mengabaikan prosedur dan proses serta kerangka Perlembagaan Negara.

Beliau berkata banyak gesaan dan kritikan ditujukan kepadanya kerana menganggap beliau mempunyai kuasa besar sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Nampak macam saya boleh menasihati raja dan juga perdana menteri. Semua naratif itu menunjukkan kononnya saya adalah orang yang paling berkuasa,” kata Azhar

Tidak begitu sebaliknya beliau hanya mempengerusikan Jawatankuasa Pemilihan dan Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat yang dianggotai ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, untuk melaksanakan sidang hibrid itu.

Walaupun sebagai pengerusi, Azhar berkata beliau tidak mempunyai hak mengundi kerana bukan ahli Parlimen dipilih melalui proses pilihan raya.

“Ia bukan keputusan saya (mengadakan sidang Parlimen). Saya bukannya boleh petik jari dan harap ia boleh berlaku. Saya hanya boleh bawa cadangan kepada jawatankuasa namun para anggotanya, ahli Parlimen yang perlu bincang,” katanya.

Tiada ulasan: