HALAMAN SANTAI

Khamis, 10 Jun 2021

Dituduh serangan seksual, ADUN AMANAH mengaku tak bersalah

ADUN Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil 
 
Perbicaraan kes serangan seksual melibatkan seorang pemimpin pembangkang, Muhammad Faiz Fadzil bermula hari ini di Mahkamah Majistret Shah Alam dan tertuduh berdepan pertuduhan bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dihadapinya dan minta dibicarakan.

Kertas kes mengatakan Faiz dituduh menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul kehormatan seorang wanita berusia 31 tahun pada 8 Mac, antara jam 9.45 malam dan 11.30 malam, ketika mereka berdua berada di dalam sebuah kereta dari pusat membeli-belah Sunway Pyramid ke Subang Jaya.

Menurut laporan Malaysiakini, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Zahida Zakaria, daripada unit jenayah seksual Jabatan Peguam Negara, mengesahkan pertuduhan terhadap Faiz, yang dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Reza Azhar Rezali.

Menurutnya, ahli politik AMANAH itu dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dan dengan syarat tidak mengganggu saksi pendakwaan.

“Tarikh perbicaraan seterusnya ditetapkan pada 6 Ogos untuk penyerahan dokumen,” kata Zahida dipetik Malaysiakini.

Terdahulu, wanita yang didakwa mangsa itu dikenal pasti sebagai ahli PKR.

Faiz, yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat AMANAH, pada ketika itu menafikan semua tuduhan dan mengesahkan akan bekerjasama dengan siasatan polis berikutan laporan wanita itu dibuat pada 16 Mac.

DPP, Nur Aishah Ahmad Zakiuddin juga hadir untuk pendakwaan manakala Faiz diwakili oleh Abdul Aziz Hamzah, Surya Putra Mohamad Taulan, Hairulallias Shaari dan Ahmad Faiq Azizan.

Seksyen 354 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda, atau dan sebatan, atau dua daripada tiga hukuman tersebut.

Tiada ulasan: