HALAMAN SANTAI

Khamis, 10 Jun 2021

Exco Negeri Sembilan sambung potong elaun

Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
AMINUDDIN HARUN

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan barisan exco kerajaan negeri akan menyambung pemotongan elaun wakil rakyat mereka sebanyak 10 peratus selama enam bulan bermula Julai ini.

Aminuddin berkata, perkara itu diteruskan selepas sebelum ini beliau dan Exco kerajaan negeri yang lain turut membuat pemotongan elaun serupa bermula Januari hingga bulan ini.

Jelasnya, potongan elaun tersebut akan disalurkan terus kepada Akaun Amanah Bencana Negeri Sembilan bagi membantu masyarakat di negeri ini yang terkesan akibat penularan Covid-19.

“Exco juga pada hari ini bersetuju untuk menyambung potongan enam bulan lagi daripada Julai hingga Disember ini. Alhamdulillah kita telah bermula Januari yang lepas, dan kita sambung lagi, itu sumbangan daripada Exco kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Mesyuarat Mingguan Exco yang dijalankan secara dalam talian hari ini.

Sementara itu, tambah Menteri Besar, menerusi RM10 juta bantuan kewangan yang disediakan kerajaan negeri kepada individu terjejas ketika PKP ketika ini, sebanyak RM5 juta akan diperuntukkan untuk melaksanakan program bakul makanan.

“Sebanyak RM500,000 pula diperuntukkan pengecualian gerai selama satu bulan kepada peniaga terjejas yang menyewa dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan RM500,000 bantuan bagi pembelian mesin oksigen kepada hospital yang memerlukan,” katanya yang memberitahu baki sebanyak RM4 juta akan digunakan bagi keperluan yang akan ditentukan kemudian.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: