HALAMAN SANTAI

Khamis, 10 Jun 2021

Halang pihak bernafsu rebut pucuk pimpinan negara: Hadi Awang

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang 
 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan pihak tertentu supaya berhenti daripada bermain politik dan mengetepikan nafsu untuk merebut kerusi pucuk kepemimpinan negara dalam keadaan Malaysia berdepan pandemik Covid-19 sekarang.

Tanpa merujuk kepada mana-mana individu atau kumpulan, beliau dalam satu kenyataan dari Institut Jantung Negara (IJN) hari ini, berkata PAS terbabit secara langsung dalam mengambil alih kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dibejati dengan krisis kepemimpinan dan moral sehingga membosankan rakyat.

“Setelah membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengikut lunas demokrasi, PAS yang diberikan beberapa peranan dalam Kabinet terus menjalankan tugas masing-masing tanpa banyak soal, kerana PAS meletakkan kepentingan rakyat yang lebih diutamakan,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu yang masih dirawat di IJN sejak empat hari lalu berkata, sSecara khusus, PAS memahami keadaan darurat pandemik Covid-19 dan menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya dihentikan segala ‘politicking’ yang boleh menganggu kestabilan pemerintahan negara.

“Namun, masih lagi terdapat dalam kalangan kita yang seolah-olah meletakkan Malaysia berada di luar alam bumi. Mereka masih tidak henti-henti daripada ‘politicking’ dan sangat bernafsu untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara dan negeri dalam suasana Covid-19 yang sebegini rupa,” katanya.

Abdul Hadi memetik Rasulullah SAW membandingkan kumpulan itu laksana mereka yang berada di petak bawah di dalam sebuah bahtera, di mana mereka ingin menebuk kapal dari bawah kerana bersikap gopoh ingin mendapatkan air untuk mereka sahaja tanpa mengira semua orang yang berada di dalam bahtera.

“Mereka perlu dihalang agar semuanya selamat. Bertindak dengan tegas tanpa perasaan waswas, kerana waswas itu datangnya daripada syaitan,” katanya.

Agenda Daily hari ini memetik Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid sebagai berkata misi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diangkat sebagai Perdana Menteri baharu mungkin menemui sinarnya apabila parti itu menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Abdullah Sani berkata, cadangan itu antara yang akan dikemukakan partinya, selain desakan supaya diadakan segera Pilihan Raya Umum (PRU).

Bagaimanapun hari ini, penyokong PKR kecewa apabila Anwar berkata tiada isu berhubung pembentukan kerajaan baharu dibincangkan dengan Yang di-Pertuan Agong pagi tadi.

Ketua Pembangkang itu yang teruja selepas dipanggil menghadap memberitahu wartawan isu kerajaan baharu tidak berbangkit, bagaimanapun beliau tidak menjelaskan secara terperinci intipati perkara yang disuarakannya ketika pertemuan itu.

Tiada ulasan: