HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 Jun 2021

Ini peluang ahli parlimen buktikan kekuatan Parlimen sebagai medan suara rakyat

Astro Awani
Ini peluang ahli parlimen buktikan kekuatan Parlimen sebagai medan suara rakyat
Bung berkata, inilah masanya untuk semua parti politik menghentikan segala pergeseran ideologi politik dan perebutan kuasa bagi mencari jalan keluar kepada krisis yang dihadapi negara ketika ini.
 
KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mahu semua ahli dewan membuktikan kekuatan Parlimen sebagai medan sebenar suara rakyat di peringkat akar umbi apabila pembukaan sidang Parlimen.
 
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, perbahasan sidang Parlimen itu penting memandangkan negara berdepan situasi getir berkaitan pandemik COVID-19 serta masalah ekonomi yang terjejas ketika ini.
 
Tegas Bung Moktar lagi, inilah masanya untuk semua parti politik menghentikan segala pergeseran ideologi politik dan perebutan kuasa bagi mencari jalan keluar kepada krisis yang dihadapi negara ketika ini.
 
"Jangan lagi heret rakyat yang telah lama terbeban dengan krisis COVID-19 ini. Apabila Parlimen bersidang nanti, berbahaslah secara serius yang berpaksikan kepada usaha mencari jalan keluar dari segala kemelut ekonomi dan kesihatan awam yang sedang dihadapi," katanya dalam kenyataan.

Bung Moktar mengulas pandangan yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
 
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda bertitah, ini bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
 
Bung Moktar menerusi kenyataan itu turut menyambut baik titah Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sambil menyifatkan baginda sebagai Ketua Negara yang meletakkan sistem demokrasi berparlimen pada tahap tinggi sekali gus mengutamakan keluhuran perlembagaan.
 
"Keputusan ini membuktikan Tuanku mengutamakan prinsip keluhuran Perlembagaan dan ini selari dengan hasrat memelihara peranan 'semak dan imbang' yang dimainkan oleh ahli-ahli yang berhormat Dewan Rakyat dan Negara," katanya.

Tiada ulasan: