HALAMAN SANTAI

Ahad, 13 Jun 2021

Insiden LRT: Tajuddin sedih, rasa ‘dimalukan’


Bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman. 
 
Bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berasa amat sedih kerana beliau seolah-olah dimalukan susulan nahas membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya bulan lalu.

Dakwanya laporan yang mengatakan bahawa beliau tidak sensetif berhubung insiden itu tidak benar kerana tidak mengambil keseluruhan kontenks sehingga beliau ‘diserang’ dan dimalukan di seluruh Malaysia.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata sejak awal sidang akhbar lagi, beliau selaku Pengerusi Prasarana ketika itu melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan insiden yang berlaku.

“Saya dimalukan di seluruh Malaysia sebagai seorang yang tidak layak, tidak sensitif, rasis, tidak ikut prosedur operasi standard (SOP) sehingga ada pula yang sanggup buat petisyen agar diri saya meletakkan jawatan.

“Semuanya bersifat menghentam dan ada pula yang mengambil kesempatan dengan melaporkan kepada polis.

“Ia tidak adil bagi saya, satu hari, saya akan kenal pasti siapa yang beria-ia sangat (menghentam) itu dan ambil tindakan mengikut peraturan undang-undang,” katanya petik Utusan Malaysia.

Menurutnya, ketika kejadian berlaku Prasarana telah bertindak segera dengan mengadakan perbincangan untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat termasuk menanggung kos rawatan di hospital dan bantuan khas kepada mereka yang hilang pendapatan disebabkan kemalangan berkenaan.

“Jadi, di mana yang dikatakan tidak prihatin itu? Saya cabar mereka lihat balik video sepanjang sidang media tersebut dan buktikan saya tidak sensitif.

“Adakah hanya kerana saya bergurau sedikit dan sebutkan pertembungan dua tren itu sebagai ‘kiss each other’, maka itu diambil sebagai bahan bahawa saya tidak prihatin dan sensitif?

“Orang yang kenal saya tahu bagaimana saya, tetapi, mereka yang tidak kenal saya ini mainkan cerita-cerita, seolah-olah ada agenda politik untuk menjatuhkan imej saya,” katanya.

Sementara itu, Tajuddin berkata, pemecatan beliau daripada Prasarana bukanlah satu masalah besar bagi dirinya.

“Saya tidak ada masalah dengan perkara itu, tak berdendam pun, pegangan saya berani kerana benar dan biarlah masa yang menentukan kebenaran itu,” katanya.

Dalam kemalangan LRT di laluan Kelana Jaya, Mei lalu, sebuah tren tidak membawa penumpang bertembung dengan sebuah lagi tren yang membawa 213 orang penumpang mengakibatkan 47 daripada mereka parah dan 166 lagi cedera ringan.

Berikutan laporan sidang akhbar yang dikendalikan Tajuddin, kerajaan pada 26 Mei lalu telah menamatkan khidmatnya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana.

Tiada ulasan: