HALAMAN SANTAI

Rabu, 9 Jun 2021

Kekeliruan surat MITI cetus kemarahan, kata wakil DAP Sabah

Adun Luyang, Phoong Jin Zhe meminta kerajaan negeri menyelaraskan operasi 
dengan polis.

KOTA KINABALU: Salah faham antara kerajaan negeri Sabah dan polis mengenai surat kebenaran dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mencetuskan kemarahan orang ramai, kata seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hari ini.

Wakil DAP Luyang, Phoong Jin Zhe berkata beliau menerima banyak panggilan daripada orang ramai sejak pagi tadi, mengatakan mereka telah diarahkan untuk mengemukan surat kebenaran Miti.

Perkara itu berlaku walaupun kerajaan baru-baru ini mengumumkan surat persetujuan MITI tidak diperlukan untuk perjalanan rentas daerah bagi mereka di sektor perkhidmatan dan barangan perlu.

“Jelas sekali wujud salah faham di sini. Polis tidak jelas dengan keputusan kerajaan negeri, dan ia telah mencetus kekacauan kepada masyarakat,” kata ketua Pemuda DAP Sabah itu dalam kenyataan hari ini.

“Ini halangan besar bagi orang ramai dan polis. Polis memberi amaran akan mendenda orang ramai jika mereka gagal menunjukkan surat kebenaran, sedangkan kerajaan negeri berkata surat itu tidak diperlukan.

“Jadi siapa yang perlu mereka dengar?” soalnya.

Phoong menggesa kerajaan negeri menyelaras operasinya dengan polis untuk memastikan mereka yang tidak melakukan kesalahan tidak akan didenda.

“Orang awam tidak bersalah, dan jika kerajaan negeri bertegas dengan keputusannya, ia perlu berkomunikasi dengan polis secara lebih berkesan,” katanya.

Semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun dalam kenyataan Covid-19 hariannya berkata kebenaran untuk sektor perkhidmatan dan barang keperluan beroperasi berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Masidi berkata, jawatankuasa pengurusan bencana Covid-19 negeri juga telah memutuskan bahawa pekerja di sektor tersebut tidak perlu mendapat kebenaran MITI untuk merentas daerah di Sabah.

Beliau menjelaskan pekerja dalam sektor itu bagaimanapun memerlukan surat majikan dan surat kebenaran rentas daerah daripada polis sebelum melakukan perjalanan.

Phoong hari ini memuji Masidi kerana mencontohi usaha kerajaan sebelumnya.

“Kuasa untuk memutuskan industri mana yang boleh beroperasi adalah di bawah kerajaan negeri – ini telah dilakukan sejak perintah sekatan pertama oleh ketua menteri sebelumnya Shafie Apdal.

“Oleh itu, kerajaan negeri perlu tegas dan memastikan polis mendapat maklumat yang betul mengenai keputusan terbarunya. Ini untuk mengelakkan salah faham,” katanya, sambil menambah telah menyuarakan kebimbangannya itu kepada Masidi.

Tiada ulasan: