HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 Jun 2021

Kerajaan ala Mageran seperti syor Tun M jejas pelabur

Tiga penganalisis politik mengulas cadangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mewujudkan Mageran. 
 
Penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) seperti dicadangkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam, dilihat tidak relevan serta tidak ‘kena pada masanya’.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, cadangan ini bermakna darurat perlu disambung lagi dan ia akan memberi kesan kepada negara terutama kepercayaan pelabur asing.

“Cadangan untuk Mageran ini juga bermakna darurat perlu disambung sedangkan jika darurat disambung maka pelabur asing kurang yakin untuk melabur apabila mereka melihat negara kurang stabil dan bimbang perjanjian perdagangan tak sah dan sebagainya.

“Idea ini juga seolah-olah cuba untuk menutup demokrasi khususnya apabila Parlimen ditutup sedangkan mandat rakyat diabaikan,” katanya kepada Agenda Daily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penolakan UMNO dan Pakatan Harapan (PH) terhadap cadangan Dr Mahathir, sebaliknya kedua-dua pihak mendesak sidang Parlimen dibuka bagi membincangkan isu berhubung langkah menangani pandemik Covid-19 dan membantu rakyat.

Terdahulu, Dr Mahathir ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong mencadangkan penubuhan satu pasukan khas seperti yang pernah diguna pakai pada 1969 bagi menangani krisis yang melanda negara ketika ini.

Mengulas lanjut, Dr Awang Azman yang juga pensyarah Universiti Malaya berkata, cadangan itu juga dilihat cubaan Dr Mahathir untuk kembali berkuasa dan memimpin negara ini.

“Ia juga cubaan untuk menyekat pengaruh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat semakin meluas ketika ini,” katanya.

Katanya, jika cadangan ini direalisasikan ia juga akan menutup ruang untuk membentuk kerajaan peralihan selepas darurat yang dijangka tamat Ogos ini.

“Sepatutnya sebuah pembentukan kerajaan lebih stabil perlu ada selepas darurat tamat seawal Ogos dan melibatkan pelbagai parti sebagai kerajaan peralihan sehingga penggal Parlimen tamat 2023,” katanya.

Sementara penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, keadaan politik pada masa ini tidak sama situasinya ketika tahun 1969.

“Mageran 1969 berbeza dengan sekarang, barangkali keutamaan adalah membuka Parlimen dan tidak dilanjutkan darurat,” katanya.

Jelasnya lagi, tumpuan Tuanku ketika ini adalah berhubung beberapa perkara terutamanya melibatkan isu kesejahteraan rakyat.

“Bagi saya fokus Tuanku ketika ini adalah isu pembukaan Parlimen; Isu berkaitan darurat sama ada perlu dihentikan atau dilanjutkan; isu pemberian vaskin dan tidak lupa juga isu berkaitan Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berpandangan penubuhan kerajaan ala Mageran memberi impak negatif terhadap pandangan masyarakat luar terhadap Malaysia.

“Sudah pasti mereka tolak sebab seolah-olah menampakkan tiada jalan keluar politik dan menyebabkan pandangan rendah masyarakat malaysia dan antarabangsa kepada sistem politik malaysia. Mageran dilihat menampakkan sisi negatif politik malaysia,” katanya.

Tiada ulasan: