HALAMAN SANTAI

Ahad, 20 Jun 2021

Ketua Pemuda UMNO Datuk Asraf Wajdi Dusuki.

AGENDA DAILY

Ketua Pemuda UMNO Datuk Asraf Wajdi Dusuki.

Kesungguhan Ketua Pemuda UMNO Datuk Asraf Wajdi Dusuki menggesa supaya sidang Parlimen dibuka dengan segera perlu diberikan pujian walaupun tidak pernah memenangi sebarang kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

Saban hari kenyataan dikeluarkan Asraf memperlihatkan semangat waja seorang anak muda dalam UMNO yang sedang berjuang demi rakyat walaupun tidak pasti kumpulan rakyat mana satu yang diwakilinya.

Kekalahan dalam PRU14 lalu tidak melunturkan semangat pemuda ini. Kenyataan-kenyataannya yang selari dengan cikgu kepada Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menunjukkan jelas kiblat Ketua Pemuda UMNO ini.

Mungkin Asraf juga mahu menunjukkan kebolehannya untuk berpidato dalam Dewan Rakyat, malangnya satu-satunya jawatan yang dimenanginya hanya lah Ketua Pemuda UMNO, itu pun menang tipis sekadar mendapat 65 undi, beza hanya tiga undi dengan pencabarnya Khairul Azwan Harun yang mendapat 62 undi.

Jika Asraf terlalu gian mahu bercakap dan berpidato, mungkin satu-satu pilihan yang ada adalah dalam pemilihan UMNO nanti, itu pun tidak tahu bila lagi ia akan diadakan memandangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pun belum tahu nasibnya dalam pemilihan nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil Adhif Syan Abdullah.

Bagi memberikan semangat kepada Asraf, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil Adhif Syan Abdullah yang bersimpati menawarkan untuk menyediakan kerusi kepada Asraf bagi membolehkannya duduk di tepi Dewan Rakyat bagi mengikuti perbahasan nanti.

Adhif berkata semangat Asraf perlu diberikan pujian walaupun tewas dalam PRU lalu dan tindakannya yang hampir setiap hari menggesa agar sidang Parlimen dibuka perlu dipuji.

“Saya puji semangat Asraf dan bersimpati apabila tidak ada Ahli Parlimen UMNO lain yang sudi menawarkan kerusi kepadanya untuk duduk mendengar perbahasan sidang Dewan Rakyat.

“Saya sebagai seorang anak muda juga memahami perasaan Asraf ini, sudah lah kalah pilihan raya jadi tidak ada tempat untuk beliau bercakap… Jadi, saya berharap dengan inisiatif saya ini, Asraf jangan lah luntur semangat untuk masuk bertanding selepas ini,” katanya kepada Agenda Daily.

Susulan itu, Adhif berharap Asraf supaya tidak lah terlalu nampak kemaruk menghentam kerajaan setiap hari supaya membuka sidang Parlimen walhal UMNO juga adalah sebahagian dalam kerajaan Perikatan Nasional ini.

“Harapan saya, Asraf tidak lah perlu lagi mengeluarkan kenyataan yang sama setiap hari dengan cikgu Presidennya (Anwar)… Seolah-olah UMNO ini sekarang berada di blok pembangkang pula.

“Ada saluran yang boleh disampaikan, Asraf boleh sahaja menghubungi Menteri UMNO dan memberi cadangan supaya sidang Parlimen dibuka. Tidak lah perlu sampai buat kenyataan terbuka, seolah mereka pula pembangkang,” katanya lagi.

Ditanya berhubung bentuk kerusi yang ingin disediakan kepada Asraf, Adhif memberi pilihan kepada Asraf untuk memilih jenis kerusi yang diinginkannya, bagaimanapun diharapkan tidak lah terlalu mewah memandangkan beliau sudah memotong gaji untuk disalurkan kepada tabung bencana Covid-19.

“Asraf boleh pilih kerusi yang dikehendakinya, bagaimanapun saya harap jangan lah terlalu mewah dan mahal kerana saya pun potong gaji ADUN untuk bantu rakyat.

“Lain lah Asraf, beliau tidak ada kawasan yang perlu dijaga. Lagipun dia bukan Ahli Parlimen, jadi disebabkan terlalu banyak masa boleh lah dia setiap hari keluar kenyataan sebab tidak ada kerja yang hendak buat,” katanya lagi.

Semalam, Asraf mengeluarkan kenyataan senada dengan blok pembangkang yang mendesak supaya sidang Parlimen dibuka dengan segera.

“Sidang Parlimen ini amat mustahak untuk disegerakan bagi membolehkan suara, harapan dan pelbagai tuntutan rakyat yang sedang dalam keresahan serta kesempitan ketika ini dapat diperbahaskan secara rasmi oleh wakil mereka yang telah dipilih melalui sistem demokrasi berparlimen,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, Asraf tewas dalam PRU14 lalu kepada calon PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan tidak pernah memenangi sebarang kerusi dalam PRU dan hanya menang pun jawatan Ketua Pemuda UMNO sahaja.

Tiada ulasan: