HALAMAN SANTAI

Khamis, 10 Jun 2021

Macam melepaskan batok di tangga- Osman

Oleh KHAIRUL MOHD ALI
OSMAN SAPIAN

JOHOR BAHRU: Mesyuarat yang diadakan oleh Menteri Besar Datuk Ir. Hasni Mohammad melibatkan wakil wakil rakyat di Johor baru-baru ini ibarat melepaskan batok di tangga sahaja, kata bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian

Beliau yang kurang berpuas hati dengan kaedah mesyuarat yang dijalankan berkata, mesyuarat seperti yang dititahkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak memberi peluang wakil rakyat memberi idea atau pandangan sebaliknya hanya sesi penerangan sahaja.

“Sultan Ibrahim bertitah agar mesyuarat bersama diadakan bertujuan untuk wakil rakyat menyumbang idea dan pemikiran yang dapat membantu kerajaan menangani Covid-19.

“Namun, sebaliknya berlaku apabila sesi mesyuarat itu tidak lebih daripada sekadar sesi penerangan sahaja, wakil rakyat juga ada idea yang hendak disumbangkan,” ujarnya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kempas.

Dalam pada itu Osman menyarankan kerajaan supaya menggerakkan aset Jabatan Penerangan dalam usaha membuat hebahan berhubung kepentingan pendaftaran vaksin dalam kalangan masyarakat khususnya penduduk luar bandar.

Beliau berkata, langkah itu perlu kerana majoriti penduduk luar bandar masih tidak mendapat maklumat sepenuhnya berhubung Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Katanya, tambahan pula penduduk kampung sering berdepan masalah telekomunikasi seperti siaran televisyen dan talian telefon yang kurang baik.

“Jadi kita kena gunakan Jabatan Penerangan untuk masuk ke kawasan kampung dan hebahkan melalui pengedaran risalah, alat pembesar suara atau perbincangan bersama ketua kampung dan penghulu.

“Pendekatan ini mungkin kelihatan seperti kembali ke zaman dahulu tetapi impaknya berkesan kerana kita tidak boleh hanya bergantung kepada Kementerian Kesihatan semata-mata untuk membuat hebahan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: