HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 Jun 2021

Mageran mampu selesaikan pelbagai krisis negara, kata veteran UMNO

20161003-Veteran-UMNO-Datuk-Mustapha-Yaakub
Datuk Mustapha Yaakub

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO berpendapat bahawa kerajaan boleh menubuhkan kembali Majlis Gerakan Negara (Mageran) sebagai satu penyelesaian menyeluruh kepada krisis kesihatan, politik dan ekonomi yang melanda negara pada masa ini.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub, Mageran boleh ditubuhkan buat masa ini kerana pembentukan majlis itu tidak hanya terhad kepada peristiwa-peristiwa sahaja.

Katanya, penubuhannya ketika kemelut 13 Mei 1969 adalah bertujuan ke arah keselamatan dan sosial negara ketika itu.

“Mageran akan ditadbir oleh beberapa orang yang pakar dalam bidang masing-masing sebagai contoh pakar ekonomi dilantik untuk menyelesaikan masalah ekonomi selain pakar kesihatan pula dipilih untuk mencari kaedah penyelesaian isu kesihatan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara.

“Ia melibatkan orang di luar parti politik yang memahami permasalahan isu semasa sekarang. Jadi tidak ada masalah nak tubuhkan Mageran dalam konteks negara pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, penubuhan Mageran dilihat penting buat masa kini memandangkan ia dapat mencegah pihak-pihak tertentu daripada mengambil kesempatan ke atas kemelut yang dibawa Covid-19.

“Mageran dapat mencegah cubaan pihak-pihak tertentu untuk mengambil kesempatan atas sokongan kepada kerajaan PN buat masa ini selain menyelesaikan desakan untuk mengadakan sidang Parlimen.

“Rakyat juga akan dapat melihat pengurusan yang lebih teratur, tersusun dan bermanfaat besar kerana ia ditunjangi pakar dan mereka yang mahir dalam bidang masing-masing,” katanya.

Majlis Gerakan Negara (Mageran) merupakan badan pentadbir Malaysia pada zaman darurat berikutan peristiwa 13 Mei selepas sistem kerajaan berparlimen di Malaysia digantung.

Jabatan Perpaduan Negara di bawah Mageran telah diwujudkan bagi menangani isu-isu pembinaan semula perpaduan masyarakat pada masa itu.

Semasa pentadbirannya, Mageran telah membentuk prinsip Rukun Negara yang menjadi ideologi kebangsaan Malaysia sehingga hari ini.

Mageran dibubarkan pada 1971 dengan pemulihan Parlimen.

Isu penubuhan Mageran timbul apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan penubuhan badan itu bagi menangani krisis-krisis yang sedang melanda negara ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu turut menyenaraikan empat krisis yang dihadapi negara ketika ini iaitu kesihatan, ekonomi, kewangan dan politik yang diyakini mampu diatasi dengan penubuhan Mageran.

Menurut Mahathir, Al-Sultan Abdullah tidak menolak cadangan yang dikemukakan beliau sebaliknya menitahkan bahawa adalah lebih baik cadangan penubuhan Mageran itu datangnya daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: