HALAMAN SANTAI

Rabu, 16 Jun 2021

Mageran: Tun M ‘akui’ mahu jadi ‘PM’ sekali lagi

 
Tun Dr Mahathir Mohamad semasa wawancara dengan Agenda Daily.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini seolah mengakui hasrat untuk menjadi ‘Perdana Menteri’ kali ketiga apabila bersedia memimpin Majlis Gerakan Negara (Mageran) seperti dicadangkannya.

Sambil mengatakan mempunyai pengalaman menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun beliau berkata, hasratnya hanya untuk berkhidmat kepada negara, bukan kepentingan diri sendiri.

“Saya mempunyai banyak pengalaman selama 22 tahun dan sudah menangani pelbagai jenis masalah seperti kewangan dan politik.

“Bukan pasal saya nak jadi orang besar sebab saya sudah memegang jawatan tertinggi dalam negara dan dua kali menjadi perdana menteri,” katanya dalam satu temubual eksklusif bersama media tempatan secara dalam talian dan disiarkan di Facebooknya bertajuk Tun M Jawab Isu Majlis Gerakan Negara (Mageran), Hala Tuju Parti.

Beliau mengulas soalan pemberita berhubung alasan beliau mencadangkan dirinya untuk memimpin Mageran selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 10 Jun lalu.

Dalam pertemuan itu, Dr Mahathir berkata cadangan itu atas keyakinan dapat menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan dihadapi negara serta kesan penularan pandemik Covid-19.

Mageran pertama kali ditubuhkan pada 1969 susulan Tragedi 13 Mei, diketuai Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan gerakan berkenaan terbukti berjaya dalam menyelesaikan masalah politik di samping negara kekal stabil untuk tempoh panjang.

Menjawab soalan Dr Mahathir berkata, jika benar hasrat mengetuai Mageran itu bertujuan untuk kepentingan diri, maka adalah lebih baik beliau bersara daripada mencampuri sebarang urus tadbir negara.

“Saya pun rasa nak berehat macam orang lain nak seronok-seronok tetapi, saya dapati masalah ini memerlukan pengalaman yang panjang.

“Kalau nak tolak saya tak apa tapi saya sanggup berkhidmat walau sudah tua. Bukan suruh semua orang terima pendapat saya tetapi saya nak beri pengalaman yang ada kepada negara.

“Banyak orang berpendapat saya perlu beri dan gunakan pengalaman saya untuk kepentingan negara,” katanya.

Mengulas keyakinannya untuk menyelesaikan masalah tersebut ketika situasi pada tahun 1969 dan sekarang, beliau berkata, ia akan bergerak lebih lancar jika tiada gangguan oleh pihak tertentu yang meletakkan politik sebagai keutamaan.

“Mageran dipenuhi pakar terutama dalam perubatan. Mereka beri nasihat tapi apabila ada pihak lain yang mengutamakan masalah lain, mereka mungkin tak setuju.

“Saya berpendapat tentu ada cadangan dibawa pakar perubatan yang ditolak kerana ada ‘kepentingan’ lain. Sebab itu perlu ada badan terdiri daripada pakar dan tak dikuasai oleh orang-orang politik yang utamakan kedudukan dan pencapaian,” katanya.

Tiada ulasan: