HALAMAN SANTAI

Rabu, 9 Jun 2021

Mat Sabu bangkitkan perlunya parlimen bersidang semula

Malaysiakini

Beberapa pemimpin tertinggi parti politik dalam negara dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara hari ini.

Ia dijangka berlanjutan selama beberapa hari.

Ia berlaku ketika negara terus berdepan dengan ancaman Covid-19 dan darurat masih berkuat kuasa di sebalik pelbagai desakan agar ia ditamatkan, atau parlimen dibuka untuk bersidang.

Malaysiakini melaporkan perkembangan itu secara langsung di sini.


4.10 petang: Mohamad Sabu selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Bercakap kepada media selepas meninggalkan kawasan istana, presiden Amanah itu berkata, dia membangkitkan isu perlunya parlimen dibuka semula walaupun ketika darurat masih berjalan.

Mohamad juga memberitahu tiada perbincangan mengenai keabsahan kerajaan sekarang dibangkitkan dalam pertemuan tersebut.

"Tumpuan perbincangan adalah mengenai hal Covid-19 dan juga meminta agar parlimen dibuka semula agar ahli-ahli parlimen boleh bersidang semula," katanya.

Mohamad adalah pemimpin parti politik yang terakhir dijadual menghadap Agong hari ini.


3.12 petang: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng keluar selepas selepas menghadap Agong.

Sejurus kemudian Lim keluar dari kenderaan yang membawanya untuk menemui media.

Kata bekas menteri kewangan itu, "kebanyakan" perbincangan berlangsung dengan Agong adalah mengenai keperluan kewangan rakyat yang berdepan dengan pandemik Covid-19.

Dia bagaimanapun enggan menjawab apabila ditanya adakah Al-Sultan Abdullah bertanya mengenai kedudukan DAP dalam kerajaan.


3 petang: Presiden Amanah yang juga bekas menteri pertahanan, Mohamad Sabu, tiba dan memasuki pekarangan Istana Negara menaiki kereta Honda CRV putih.

Dia sempat melambai-lambai ke arah wartawan yang menunggu di depan pintu masuk berkenaan.

Sementara itu belum nampak kelibat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, meninggalkan pekarangan istana selepas memasuki kawasan itu menjelang jam 2 petang tadi.


1.55 tengah hari: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tiba menaiki kereta Vellfire putih. Turut kelihatan dalam kenderaan tersebut ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada Sim akan turut menghadap Agong atau sekadar mengiringi Lim.


11.54 pagi: Presiden PKR Anwar Ibrahim keluar dari Istana Negara.

Ahli parlimen itu juga sempat berhenti seketika untuk menjawab soalan wartawan yang menunggu di luar pintu Istana Negara.

Ditanya sama ada akan berlaku pembentukan kerajaan baru, Anwar menjawab: "Itu soal yang tidak berbangkit sekarang."


11.43 pagi: Memetik kenyataan Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Bernama melaporkan Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap pemimpin-pemimpin parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada 14 Jun ini.

Katanya pertemuan tersebut akan berlangsung melalui persidangan video.

GPS membabitkan gabungan parti bekas anggota BN iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

PBB diketuai Abang Johari Abang Openg, manakala James Masing memimpin PRS. Tiong King Sing dan Sim Kui Hian masing-masing mengetuai PDP dan SUPP.


11.10 pagi: Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menerima menghadap Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat prakabinet pagi tadi.

Menurut kenyataan dikeluarkan melalui media sosial, sesi berkenaan berlangsung selama satu jam mulai 8 pagi.

"Mesyuarat prakabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama perdana menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan," kata kenyataan itu.


10.37 pagi: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim tiba untuk menghadap Al-Sultan menaiki Jaguar hitam.

Presiden PKR itu merupakan pemimpin politik kedua yang menghadap Agong hari ini selepas terdahulu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin selesai menghadap baginda pada kira-kira jam 9 pagi. 

Muhyiddin beredar meninggalkan pekarangan Istana Negara selepas menghadap Al-Sultan Shah selama kira-kira sejam.


8.56 pagi: Muhyiddin Yassin meninggalkan Istana Negara menaiki kenderaan rasmi dan kenderaan pengiring melalui pintu satu.


7.50 pagi: Perdana Menteri memasuki pekarangan istana dengan menaiki kenderaan rasmi kira-kira jam pada 7.50 pagi tadi.

Untuk rekod pada keadaan biasa memang menjadi kelaziman untuk Muhyiddin selaku perdana menteri akan menghadap Agong sebelum presiden Bersatu itu mempengerusikan mesyuarat mingguan kabinet pada setiap Rabu.

Namun kemunculan Muhyiddin pada hari ini menarik perhatian ramai kerana Al-Sultan Abdullah dijadual menerima menghadap ketua-ketua parti politik negara secara bergilir-gilir mulai hari ini.

Sementara itu Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Anthony Loke mengesahkan pemimpin parti itu akan menghadap Agong petang ini.

Katanya DAP akan diwakili Lim Guan Eng selaku setiausaha agung parti.

"Majlis menghadap tersebut dijadualkan berlangsung pada petang 9 Jun di Istana Negara," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan seorang lagi pemimpin parti politik yang akan diterima menghadap Al-Sultan Abdullah ialah Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun sumber yang bercakap dengan Malaysiakini enggan mendedahkan butiran lebih lanjut mengenai pertemuan tersebut. Difahamkan pertemuan berkenaan akan berlangsung pada pagi ini.

Menurut sumber itu, antara isu yang akan dibincangkan ialah situasi semasa wabak Covid-19 dan pelaksanaan darurat negara.

Tiada ulasan: