HALAMAN SANTAI

Ahad, 20 Jun 2021

Melambatkan sidang Parlimen bermakna derhaka terhadap titah YDPA – Noor Hariri

Manzaidi Mohd Amin
hariri02-e1612063458283
Noor Hariri Mohamed Noor

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Kelantan tidak teragak-agak untuk mendesak Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Ahli Parlimen dari parti itu menarik diri segera dari kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, desakan itu sebagai manifestasi untuk UMNO tidak berkompromi dengan helah penderhaka yang melanggar titah Yang di-Pertuan Agong akibat kegagalan memanggil sidang Parlimen secepat mungkin.

Kata beliau, helah pimpinan tinggi kerajaan PN yang bercadang membuka sidang Parlimen selepas darurat ini, secara tidak langsung telah melanggar sumpah Rukun Negara yang dilafazkan iaitu Kesetiaan Kepada Raja Negara serta Keluhuran Perlembagaan.

Kata beliau, Parlimen amat penting diadakan untuk melulus dan meminda undang-undang Persekutuan, memeriksa dasar-dasar kerajaan serta meluluskan bajet kerajaan dan perbelanjaan negara sepanjang tempoh darurat ini.

“Beberapa persoalan penting yang perlu dijawab kerajaan sejurus Parlimen dibuka, iaitu perbelanjaan apa sehingga RM600 bilion.

“Rakyat perlu dan mahu tahu secara terperinci ke mana perginya perbelanjaan khusus untuk melawan Covid-19 ini seperti RM340 bilion Pakej Rangsangan dan RM322 bilion Pakej Belanjawan.

“Rakyat juga ingin tahu betulkah akan ada rundingan pintu belakang penjualan harta milikan strategik negara seperti lapangan terbang utama negara dan lain-lain lagi kepada pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menyatakan, rakyat telah mempertikaikan kegagalan kerajaan menggunakan kuasa Ordinan Darurat untuk mewajibkan bank dan institusi kewangan melanjutkan moratorium tanpa syarat kepada semua peminjam.

Ini katanya, bagi mengelakkan ramai dikenakan tindakan muflis, sekali gus dapat mencemarkan kredit rating negara yang tentunya akan memberi kesan besar ke atas pelabur asing.

Menurut Noor Hariri, bantuan juga perlu diberikan secara menyeluruh kali ini bagi merancakkan semula putaran ekonomi dalam negara kerana taraf hidup rakyat turun mendadak dalam masa setahun ini daripada golongan T20 menjadi M40, manakala M40 pula menjadi B40 dan B40 menjadi fakir miskin.

“Sudah tentunya di Dewan Rakyat nanti Ahli-ahli Parlimen dapat menyuarakan setiap butiran permasalahan rakyat di kawasan mereka sedang hadapi dalam tempoh terdesak ini.

“Kerajaan PN perlu melihat ini dari sudut positif dengan menuruti kehendak titah Yang di-Pertuan Agong supaya amalan demokrasi secara tuntas kekal subur di negara ini,” katanya.

Sehubungan itu, kata Noor Hariri, Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan sependapat dengan ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi supaya kerajaan segera mengeluarkan notis panggilan bersidang sebelum 1 Ogos ini bagi membolehkan semua butiran perbelanjaan dalam tempoh darurat dapat dibahas oleh semua Ahli Parlimen. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: