HALAMAN SANTAI

Ahad, 20 Jun 2021

Mesyuarat UMNO diteruskan ketika PKP untuk bincang tarik sokongan?


UMNO dikatakan akan mengadakan Mesyuarat Biro Politik ketika pelaksanaan tempoh PKP.

Tular dalam media sosial sejak malam tadi wujud jemputan Mesyuarat Biro Politik UMNO yang akan dijalankan hari ini di ibu pejabat parti, PWTC walaupun pada ketika negara sedang berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Untuk rekod, mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi PKP penuh, sebarang perhimpunan atau mesyuarat melibatkan himpunan orang ramai tidak dibenarkan dan boleh dikenakan kompaun.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan mesyuarat UMNO tersebut akan diadakan jam 3 petang ini bagaimanapun ia dinafikan Setiausaha Kerjanya, Datuk Sumali Reduan.

Laporan tersebut pada awalnya mendakwa mesyuarat itu dipanggil Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang melibatkan 10 anggota jawatankuasa pengurusan serta 13 pengerusi perhubungan negeri.

Daripada maklumat sumber kepada Agenda Daily, mesyuarat tersebut diteruskan juga jam 3 petang ini dan ia hanya akan melibatkan pemimpin yang mesra dengan Presiden tersebut.

Pihak media dikatakan juga sudah berkumpul di PWTC untuk membuat liputan berhubung mesyuarat tersebut.

Sumber memberitahu ia berkemungkinan bagi membincangkan dan menentukan hala tuju parti itu berhubung kedudukan UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beberapa Menteri UMNO yang dihubungi Agenda Daily memberitahu tiada jemputan diterima mereka berhubung mesyuarat tersebut kerana tidak berada dalam jawatankuasa tersebut.

Difahamkan, mesyuarat tersebut yang dipengerusikan Zahid akan memberi fokus untuk mencari jalan memutuskan pendirian UMNO untuk keluar daripada kerajaan PN dan mendesak Menteri dan Timbalan Menteri UMNO berundur dengan secepat mungkin.

Kebiasaannya, hasil daripada keputusan Mesyuarat Biro Politik akan dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi yang akan memutuskan tindakan untuk keluar daripada kerajaan PN.

Namun, sumber mendedahkan selepas bocor maklumat berhubung mesyuarat tersebut kerana melanggar SOP PKP, ia terpaksa dibatalkan bagi mengelakkan sebarang pertikaian timbul selepas ini.

Sebelum ini, orang awam sudah mengecam segelintir individu dan selebriti yang dianggap sebagai ‘Kluster Kayangan’ kerana melanggar SOP PKP dan tidak kurang juga terdapat pemimpin politik yang turut melanggar SOP.

Zahid juga kini senada dengan blok pembangkang yangmendesak kerajaan PN supaya segera memanggil sidang Parlimen untuk dibuka.

Tiada ulasan: