HALAMAN SANTAI

Rabu, 9 Jun 2021

MP: Kenapa ada layanan dua darjat bagi peniaga pasar pagi?

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok meminta Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa membenarkan penjaja kecil untuk berniaga di pasar pagi terbuka sepanjang sekatan pergerakan penuh (PKP) yang berkuat kuasa sehingga 14 Jun.

Kok menyifatkan arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang melarang pasar pagi terbuka untuk beroperasi sebagai layanan dua darjat.

"Bukankah operasi dan perniagaan pasar pagi terbuka adalah sama dengan operasi pusat penjaja, pasar dalam bangunan dan bazaria?

"Kenapakah DBKL mengamalkan layanan dua darjat bagi perniagaan kecil tersebut?

"Sebenarnya, pengudaraan pasar pagi terbuka adalah lebih baik berbanding dengan pasar dalam bangunan dan pusat penjaja, maka lebih selamat bagi pelanggan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kok berkata pelanggan yang membeli di pasar dalam bangunan adalah sama seperti membeli-belah di pusat membeli-belah yang mempunyai sistem pengudaraan tertutup dan lebih mudah bagi koronavirus disebarkan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini menjelaskan sistem pengudaraan yang buruk boleh meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.

Begitu juga Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) yang berkata premis terbuka mempunyai risiko lebih rendah bagi penularan wabak asalkan dengan mematuhi penjarakan fizikal.

Menurut garis panduan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertarikh 2 Jun, pasar harian dan pasar awam dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 2 petang tertakluk kepada persetujuan pihak berkuasa tempatan.

Bagaimanapun, DBKL memutuskan bahawa pasar luar tetap ditutup, manakala pasar di dalam bangunan di Wilayah Persekutuan boleh terus beroperasi.

Kok berkata walaupun dia faham keputusan berkenaan, namun garis panduan oleh pihak berkuasa mestilah munasabah.

"Saya faham hasrat kerajaan untuk mengurangkan peluang orang ramai berhimpun demi mengurangkan penyebaran koronavirus, tetapi segala arahan PKP mestilah dikeluarkan secara rasional, supaya arahan kerajaan tidak dilihat seolah-olah layanan dua darjat.

"Apa yang penting ialah kesemua aktiviti perniagaan penjaja kecil ini dilakukan mengikut SOP kerajaan," tambahnya.

Tiada ulasan: