HALAMAN SANTAI

Rabu, 9 Jun 2021

Naib Presiden UMNO ajak bersama kerajaan bukan kritik seperti pembangkang

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid. 
 
Tidak seperti sesetengah pemimpin atasan UMNO yang dilihat bersekutu dengan blok pembangkang, dan sering mengkritik serta mengecam usaha kerajaan memerangi Covid-19 dan membantu rakyat dengan pelbagai program,  Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengajak parti itu bersolidariti bersama kerajaan.

Beliau hari ini mengajak pemimpin dan ahli parti itu mengetepikan dahulu soal politik serta siapa yang menjadi kerajaan sekarang, sebaliknya bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan menangani masalah Covid-19.

Beliau berkata, UMNO tidak boleh hanya membiarkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja yang melakukan pelbagai usaha memerangi pandemik Covid-19 yang semakin kritikal sekarang.

Katanya, peranan membantu kerajaan dan KKM perlu dipertingkatkan dan digerakkan oleh kepemimpinan UMNO di seluruh negara dengan apa cara sekali pun.

“Ingin saya tegaskan juga buat masa ini biarlah tumpuan kita kepada melawan Covid-19 terlebih dahulu. Kita ketepikan dahulu soal politik kepartian atau kepimpinan kerajaan.

“Bagi saya, ini bukan masanya lagi. Biarlah kita sama-sama berjuang melawan Covid-19 ini terlebih dahulu. Nyawa kita dan nyawa semua rakyat Malaysia adalah lebih utama buat masa sekarang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan beliau dilihat berbeza daripada sesetengah pemimpin tertinggi UMNO yang sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih tampuk pemerintahan negara dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin, sentiasa mengkritik apa sahaja langkah membantu rakyat dan menangani penularan wabak Covid-19.

Pemimpin UMNO yang dilihat bersekutu dengan blok pembangkang sebelum ini lebih banyak mengkritik dan mencari sekecil-kecil salah kerajaan tanpa memikirkan kepentingan rakyat, sebaliknya lebih kepada inginkan kuasa bagi kepentingan diri sendiri.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Padang Terap itu mengingatkan bahawa ketika ini rakyat sedang memerhati dan menilai setiap perkara yang dilakukan kepemimpinnan UMNO.

UMNO kata Mahdzir, sudah lama membawa naratif membantu rakyat dalam apa sahaja situasi dan sepatutnya dalam situasi pandemik Covid-19 sekarang ini usaha membantu kerajaan hendaklah diambil.

“Kita bukan bekerja membantu rakyat dan negara mengikut musim. Kita ada di mana-mana dan bila-bila masa sahaja bersama rakyat dan negara. Itulah UMNO sebenarnya,” katanya.

Tiada ulasan: