HALAMAN SANTAI

Selasa, 15 Jun 2021

Najib kemuka dalil ‘darurat gagal selamat nyawa, ekonomi’

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Bekas perdana menteri, Najib Razak hari ini mengemukakan dua graf bagi pendapatan bulanan purata pekerja sektor pembuatan Malaysia bagi membuktikan bahawa pendapatan bulanan pekerja semakin turun sejak darurat dilaksanakan.

Berdasarkan, data rasmi terbaru dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), katanya graf jelas menunjukkan pendapatan bulanan pekerja semakin terjejas.

“Semasa membuat darurat, Menteri Perikatan Nasional (PN) beri tahu kita bahawa matlamat perlaksanaan darurat ialah untuk selamatkan nyawa dan ekonomi.

“Tapi saya tengok darurat tak berjaya selamatkan pendapatan dan ekonomi rakyat.

“Malah ia lagi gagal untuk selamatkan nyawa memandangkan 555 kematian dicatat dalam tempoh lapan bulan pandemik tanpa darurat tetapi 3,413 nyawa telah terkorban setakat ini dalam tempoh lima bulan darurat.

“Nyawa tak selamat. Ekonomi juga tak diselamatkan. Jadi, apa gunanya perlaksanaan darurat ini?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Pada 8 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Mohd Redzuan Mohd Yusof, dilaporkan berkata proklamasi darurat yang diisytiharkan pada 11 Januari lalu bukan untuk menyelamatkan pemimpin atau parti politik tertentu.

Sebaliknya, katanya, ia amat penting bagi melandaikan keluk jangkitan Covid-19 yang membimbangkan kerajaan ketika itu dan memberikan perimbangan kepada nyawa manusia dan ekonomi negara.

Mengulas lanjut, Najib menyoal sama ada jika menteri PN telah mengeluarkan berita palsu.

“Graf di bawah pula ialah data yang sama bagi tempoh dari tahun 2010 hingga April 2021.

“Amat pelik bahawa trend kenaikan gaji amat konsisten dan ketara sepanjang zaman ekonomi Malaysia telah kononnya dijahanamkan oleh ‘perompak, penyamun, pencuri’.

“Tapi selepas PRU14, gaji semakin turun pula - termasuk dalam tempoh 22 bulan tanpa pandemik.

“Ajaib, kan?’ tulisnya lagi.

Tiada ulasan: