HALAMAN SANTAI

Jumaat, 18 Jun 2021

Parlimen perlu bersidang sebelum 2 Ogos, elak krisis Perlembagaan, kata Ahli Parlimen PKR

Fahmi Fadzil menggesa Perdana Menteri segera mendapatkan nasihat Peguam 
Negara dan menjelaskan kepada umum bagi mengelakkan kekeliruan dalam 
kalangan rakyat, termasuk Ahli Parlimen.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata Parlimen perlu bersidang tidak lewat dari 2 Ogos bagi mengelakkan krisis Perlembagaan.

Ini kerana, katanya, hari ini adalah hari ke-183 atau enam bulan satu hari sejak sidang Parlimen terakhir pada 17 Dis 2020.

“Ini bermaksud, kita hari ini berhadapan pelanggaran Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Perkara 55(1) Perlembagaan menyatakan “Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan akhir dalam satu penggal dengan tarikh ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal berikutnya.”

Bagaimanapun, Fahmi berkata, peruntukan di bawah Perlembagaan itu tidak terpakai kerana darurat sedang dikuatkuasakan.

Katanya, kerajaan mengguna pakai Perkara 14(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan: “Bagi tempoh darurat berkuat kuasa, peruntukan yang berhubung dengan memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai kesan.”

Merujuk pandangan Raja-raja Melayu pada Rabu lalu berhubung tiada keperluan darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos, beliau berkata, sekiranya darurat berakhir 1 Ogos, Perkara 14(1)(a) Perlembagaan Persekutuan tidak lagi terpakai kerana darurat tidak lagi berkuat kuasa dan Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan akan terpakai semula ketika itu.

“Untuk mengelak berlakunya satu krisis Perlembagaan, Parlimen mesti bersidang tidak lewat dari 2 Ogos 2021, bukan September ataupun Oktober seperti yang diulang-ulang Mahiaddin (Muhyiddin Yassin) dan Takiyuddin (Hassan).”

Pengarah Komunikasi PKR itu menggesa Perdana Menteri dan Menteri Undang-undang terbabit segera mendapatkan nasihat Peguam Negara dan menjelaskan kepada umum bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, termasuk Ahli Parlimen.

“Parlimen adalah platform terbaik untuk mendengar masalah dan menyelesaikan isu rakyat, Perdana Menteri mesti seawal hari ini mohon menghadap dan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen.”

Pada 15 Jun lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, Parlimen boleh bersidang semula dalam Fasa III Pelan Pemulihan Negara, iaitu sekitar September atau Oktober.

Fahmi percaya kenyataan Muhyiddin dan Takiyuddin dibuat berdasarkan beberapa perkiraan, termasuk jumlah kes Covid-19 serta tanda aras lain, tetapi ada satu tanda aras yang tidak diambil kira mereka, iaitu darurat.

“Ini bermaksud, kita hari ini berhadapan dengan pelanggaran Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal berikutnya.

“Untuk mengatasi isu ini, kerajaan mengguna pakai Perkara 14(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, iaitu bagi tempoh darurat berkuat kuasa, peruntukan yang berhubung dengan memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai kesan,” katanya.

Tiada ulasan: