HALAMAN SANTAI

Isnin, 21 Jun 2021

Pejabat Speaker akan utus surat kepada Sultan Selangor

Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
NG SUEE LIM

SHAH ALAM- Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan mengutus surat cadangan tarikh persidangan DUN negeri itu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada waktu terdekat.

Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim berkata, surat tersebut akan dihantar selepas selesai melakukan perbincangan berhubung perkara terbabit dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

“Kita akan mohon perkenan baginda untuk benarkan persidangan DUN negeri diadakan.

“Sekiranya sidang tersebut diadakan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Menteri Besar akan mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AMustafa Billah Shah secepat mungkin bagi mendapatkan perkenan Baginda pula,” katanya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Jumaat lalu, Amirudin di dalam laman rasmi Facebooknya memaklumkan, beliau akan berjumpa dengan Suee Lim bagi membincangkan perihal persidangan semula DUN Selangor.

Menurutnya, hasil perbincangan berkenaan akan dipersembahkan kepada Sultan Sharafuddin secepat mungkin.

Selain cadangan tarikh, beberapa butiran lain seperti kedudukan tempat duduk setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), jumlah maksimum ADUN dalam sesebuah persidangan serta tempoh masa sesebuah persidangan itu berlangsung akan dimaklumkan dalam surat itu.

“Segala persiapan akan dibuat termasuk laluan masuk dan keluar ADUN serta hanya membenarkan wartawan yang sudah mengambil vaksin Covid-19 untuk membuat liputan persidangan itu yang diadakan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tiada ulasan: