HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 Jun 2021

Pelan Pemulihan Negara ‘serampang dua mata’: Armada


Armada dan Pemuda Perikatan Nasional menyokong Pelan Pemulihan Negara.

Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, bagaikan ‘serampang dua mata’ dalam agenda negara menjadi bebas Covid-19 dan pada masa sama sektor ekonomi dapat dibangunkan semula dan rakyat boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

Pengerusi Biro Ekonomi Armada Ahmad Sobree Abas berkata, beliau percaya pelan itu dirangka dan direncana sebaik mungkin bagi memastikan negara dapat pulih semula dalam memastikan rakyat dan negara kembali sejahtera.

“Pelan Pemulihan Negara merupakan satu langkah yang serius untuk negara keluar dari pandemik ini. Sudah tiba masanya, kerajaan mengambil langkah drastik dan bersasar setelah mengharungi wabak ini hampir dua tahun lamanya.

“Kami juga yakin sebahagian besar rakyat Malaysia bersama-sama Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menangani wabak ini dan kita semua harus yakin bahawa kita akan menang suatu hari nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Muhyiddin membentangkan PPN sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik Covid-19.

Strategi terbabit merangkumi empat fasa dan akan membabitkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Sementara itu, Pemuda Perikatan Nasional (PN) menyifatkan PPN sebagai ‘perubahan permiannan’ untuk membawa negara menuju jalan keluar kepada permasalahan yang dihadapi sekarang.

“Perlaksanaan Pelan Pemulihan Negara ini menjadi indikasi tepat bahawa Kerajaan hari ini mendukung aspirasi demokrasi apabila dengan tuntas akan memberikan komitmen agar sidang Parlimen boleh diadakan dalam Fasa 3 dijangka bakal digapai sekitar bulan September atau Oktober tahun ini mengikut SOP yang ketat.

“Jelas, kerajaan hari ini dilihat terus menyokong prinsip demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan setelah komitmen ini dinyatakan,” kata Pemuda PN dalam kenyataannya.

Sehubungan itu, Pemuda PN mengingatkan pihak yang tidak bertanggungjawab supaya jangan sengaja menimbulkan keresahan mahupun kecelaruan di kalangan rakyat sehingga mengganggu gugat tugas utama kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19 dengan berkesan.

“Pemuda Perikatan Nasional menyokong agar darurat kesihatan disambung bagi memastikan sistem kesihatan tidak runtuh dan PPN dilaksana dengan lancar,” kata kenyataan itu.

Tiada ulasan: