HALAMAN SANTAI

Selasa, 8 Jun 2021

Pemuda UMNO kemuka 12 penambaikan untuk selesaikan masalah Covid-19

MGF26072019_DEMO-JELAJAH-TUNTUT-KEBENARAN_04
Muhammad Faiz Hashim

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Malaysia menggariskan 12 perkara penambahbaikan yang perlu dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menyelesaikan masalah Covid-19.

Exconya, Muhammad Faiz Hashim berkata, yang pertama, kerajaan perlu mengadakan segera sidang Parlimen sama ada secara fizikal mahupun maya agar segala permasalahan berkaitan Covid-19, ekonomi mahupun kebajikan rakyat dapat dibincangkan.

Katanya, kerajaan juga perlu manfaatkan sepenuhnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh ini dengan vaksinasi seramai mungkin rakyat agar masa yang ada tidak terbuang begitu sahaja.

“Ini kerana ramai yang telah mendaftar dengan MySejahtera untuk mendapatkan vaksin sejak Mac lalu, tetapi untuk suntikan dos pertama belum lagi dipanggil temu janji.

“Kerajaan seharusnya melibatkan peranan doktor dan jururawat swasta untuk bersama Kementerian Kesihatan (KKM) membantu mempercepatkan suntikan vaksin kepada rakyat.

“Jadikan dewan orang ramai, dewan KRT, balai raya di seluruh negara sebagai Pusat Vaksinasi Negara bagi memudahkan orang ramai terutama di kampung dan pendalaman untuk mendapatkan vaksin,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Muhammad Faiz yang juga Pengerusi Sekretariat NGO Pemuda UMNO Malaysia berkata, selain pusat vaksinasi sedia ada, kerajaan perlu memperluaskan kaedah pandu lalu di setiap pusat vaksin agar prosesnya lebih cepat dan mengurangkan masyarakat berkumpul serta menunggu lama.

Beliau juga menggesa kerajaan libat dan maksimumkan peranan pemimpin setempat Ahli Parlimen, ADUN, Ketua Bahagian dan Pengerusi KRT dengan menjadikan mereka jambatan dan pemudahcara kepada rakyat di kawasan untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Khidmat penghantaran percuma ke pusat vaksinisasi boleh diadakan bagi membawa rakyat yang kurang upaya, OKU, warga emas dan yang tiada kenderaan untuk mendapatkan suntikan.

“Di sinilah sepatutnya Yang Berhormat (YB) menjadi hero dan ingatlah rakyat sekarang ini bijak menilai dan membuat pilihan. PRU15 rakyat akan pilih yang benar-benar berkhidmat, yang tidak turun kawasan, yang tidak endah masalah rakyat susah di kawasan, rakyat akan ucapkan selamat tinggal. Jadi beringatlah.

“Jangan peningkan kepala dan fikiran rakyat. Rakyat patuh pada setiap arahan kerajaan. Cuma setiap arahan kepada rakyat perlulah jelas. KKM, MKN, PBT, PDRM perlu duduk semeja dan sesekali tidak mengeluarkan arahan yang mengelirukan,” ujar beliau.

Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu mempertimbang dan memperhalusi cadangan serta nasihat NGO Perubatan dan persatuan yang melibatkan 200 doktor termasuk Pakar Farmakologi yang mencadang kerajaan menggunakan ubat Ivermerctin yang terbukti berkesan di lebih 30 negara.

Malah, semua parti politik perlu melakukan genjatan politik waktu ini dengan menumpukan masalah utama negara dalam hal Covid-19, ekonomi dan kebajikan rakyat.

“Pemuda UMNO juga minta kerajaan jangan sesekali berpolitik dalam masalah Covid-19 ini dan tidak menggunakannya sebagai batu loncatan untuk jadikan tempoh darurat lebih panjang supaya kerajaan pada hari ini boleh kekal lama.

“Fokus dan serius, apa yang dialami hari ini adalah melibatkan nyawa rakyat Malaysia dan sehingga kini seramai 3,460 kematian telah direkodkan.

“Kita beranggapan, lebih lama kerajaan ambil masa untuk vaksinasi rakyat, lagi lambat ekonomi negara akan pulih dan selagi itu rakyat akan terus bergelut dalam kemelut kelangsungan untuk meneruskan hidup,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: