HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 Jun 2021

Perbicaraan penuh untuk permohonan cabar Undi18 ditangguh

Kerajaan berkata, Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik hanya boleh 
dilaksanakan pada September 2022.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan 18 pemohon untuk meneruskan tindakan undang-undang mereka terhadap keengganan kerajaan melaksanakan pindaan Perlembagaan Undi18 pada bulan depan.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid berkata, permohonan mereka untuk semakan kehakiman tidak remeh atau menjengkelkan.

“Saya setuju dengan mereka yang berkata pindaan terhadap undang-undang pilihan raya berkaitan dan undang-undang kecil tidak patut menghalang pindaan (untuk membenarkan mereka yang berusia 18 tahun mengundi dan pendaftaran pengundi automatik) mula berkuat kuasa.”

Kamal berkata, mahkamah perlu membenarkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan melalui afidavit mereka, kenapa harus menangguhkan penguatkuasaan itu sehingga September 2022.

“Dengan tidak menguatkuasakan pindaan Perlembagaan pada Julai, ia menjejaskan 18 pemohon dalam kes ini kerana mereka tidak boleh mengundi dalam mana-mana pilihan raya yang mungkin diadakan kemudian.”

Mahkamah tidak mengeluarkan perintah berhubung kos dan menetapkan 1 Julai ini untuk sebutan lanjut.

Lapan belas individu berusia 18 hingga 20 tahun itu memohon mahkamah membatalkan keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak melaksanakan pindaan Undi18 menjelang Julai ini.

Mereka mendakwa keputusan menangguhkan penguatkuasaan itu tidak munasabah kerana ia menafikan hak mereka sebagai pengundi menjelang Julai.

Mereka turut berkata, kerajaan tidak patut memutuskan untuk melaksanakan pindaan Undi18 bersama pendaftaran pengundi automatik.

“Pindaan Undi18 boleh dikuatkuasakan terlebih dahulu manakala pendaftaran pengundi automatik boleh tunggu.”

Kerajaan ketika membantah permohonan semakan kehakiman 18 anak muda itu berhujah bahawa kes berkenaan patut dibatalkan kerana ia pramatang dan berlawanan dengan semangat pindaan Perlembagaan.

Ia berkata, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memberitahu Dewan Rakyat ketika membentangkan pindaan Perlembagaan bahawa beberapa peraturan dan undang-undang pilihan raya perlu dipinda terlebih dahulu sebelum Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik dapat dilaksanakan.

“Penguatkuasaan dan pelaksanaan pindaan Perlembagaan (Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik) tidak boleh dilaksanakan secara berasingan dan perlu dilakukan bersama.”

Awal tahun ini SPR dilaporkan berkata, Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik hanya boleh dilaksanakan pada September 2022.

Kumpulan pemuda itu diwakili peguam Gurdial Singh Nijar dan Ambiga Sreenevasan, manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Azizan Md Arshad dan Raja Shahril Anuar Raja Baniamin mewakili Muhyiddin serta kerajaan.

Tiada ulasan: