HALAMAN SANTAI

Selasa, 15 Jun 2021

Pertemuan Agong: Jika tiada MP UMNO dirujuk, adakah Zahid rujuk dengan Anwar lagi?


Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pendedahan Datuk Seri Nazri Aziz yang mendakwa tiada Ahli Parlimen (MP) UMNO dirujuk terlebih dahulu semasa menghadap Agong baru-baru ini menimbulkan tanda tanya adakah Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi berbincang dengan cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata Zahid langsung tidak memanggil MP UMNO untuk bertemu bagi membincangkan dan mendapatkan pandangan mereka untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tindakan tersebut dilihat seakan cuba menidakkan suara MP UMNO yang lain walhal mereka juga adalah wakil rakyat yang dipilih, malah Nazri antara yang setia bersama parti walaupun ada segelintir yang bertindak keluar parti.

Sumber memberitahu Agenda Daily, Zahid semakin hilang rasional dalam menguruskan parti dengan tindak-tanduknya yang membelakangkan kepentingan parti dan lebih mementingkan diri sendiri.

Menurut sumber, beliau juga tidak menolak Zahid masih berkomunikasi dengan Presiden PKR tersebut sama ada secara langsung atau melalui orang tengah walaupun sebelum ini dikecam teruk susulan pendedahan klip audio kontroversi Mac lalu.

“Sepatutnya semasa bertemu Agong, sekurang-kurangnya jemputlah MP UMNO untuk berbincang… bukan hanya sekadar mendengar pandangan orang sekelilingnya sahaja, kami ini wakil rakyat yang dipilih semasa bertanding atas tiket UMNO.

“Kenapa mahu bincang hala tuju parti dengan orang luar? Adakah MP UMNO ini tidak penting lagi dan suara orang luar lebih penting?” kata sumber kepada Agenda Daily.

Jelasnya, tindakan Zahid tidak memanggil MP UMNO sebelum menghadap Agong pada Jumaat lalu menimbulkan tanda tanya dikalangan mereka sama ada Anwar sekali lagi menjadi sumber rujukan kepada Presiden UMNO itu seperti yang berlaku semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 lalu.

“Kalau MP UMNO tidak dirujuk, jadi siapakah yang Zahid rujuk sebelum menghadap Agong baru-baru ini?” soal sumber.

Sementara itu, sumber juga memberitahu ramai pemimpin dalam UMNO sudah mula kurang senang dengan beberapa keputusan Zahid yang dilihat banyak menimbulkan kecelaruan kepada akar umbi.

“Kalau dahulu mungkin ramai pemimpin UMNO yang masih hormat kepada Presiden dan memberinya peluang untuk memperbetulkan keadaan… bagaimanapun peluang tersebut disia-siakan.

“Tidak dinafikan, ramai pemimpin UMNO kini sudah marah dan kecewa dengan Presiden… mereka menanti masa yang sesuai untuk menyingkirkannya,” kata sumber.

Zahid selepas menghadap Agong Jumaat lalu berkata UMNO mengambil pendirian agar darurat yang sedang berkuat kuasa sekarang ditamatkan selepas 1 Ogos dan sidang Parlimen dapat diteruskan seperti biasa.

UMNO dilihat senada dengan pendirian blok pembangkang, Pakatan Harapan selepas menghadap Agong yang juga membuat gesaan sama untuk tidak menyambung Darurat pada 1 Ogos dan mendesak supaya sidang Parlimen dibuat.

Tiada ulasan: