HALAMAN SANTAI

Rabu, 9 Jun 2021

Pesuruhjaya kehakiman baru dengar saman 1MDB terhadap Najib

Pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Atan Mustaffa Yusoff Ahmad akan mendengar kes saman 1MDB terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Dia mengambil alih tugas itu daripada pesuruhjaya kehakiman Adlin Abdul Majid yang sebelum ini menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

Sebelum ini dilaporkan bahawa selain Adlin, dua pesuruhjaya kehakiman lain juga telah menarik diri  daripada mendengar saman berkenaan iaitu Liza Chan Sow Keng dan Quay Chew Soon.

Saman ini adalah salah satu daripada 22 saman yang difailkan 1MDB dan juga bekas anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd, terhadap beberapa personaliti yang yang didakwa menipu mereka.

Kedua-dua plaintif juga mengambil tindakan undang-undang terhadap entiti yang mungkin tidak melakukan penipuan tetapi terlibat dalam proses itu - secara sedar atau tidak.

Ketika dihubungi hari ini, peguam 1MDB, Siva Kumar Kanagasabai mengesahkan bahawa Atan kini akan mendengar saman 1MDB terhadap Najib dan 14 defendan lain yang berkaitan syarikat pelaburan bermasalah itu.

Peguam itu berkata demikian selepas pengurusan kes saman hari ini di Mahkamah Tinggi.

Selain 1MDB, empat plaintif lain adalah entiti yang berkaitan dengan dana kekayaan berdaulat itu iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, dan Global Diversified Investment Company Limited (sebelumnya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited).

Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan di Mahkamah Tinggi pada 2 Julai.

Sebelum ini, The Edge Markets melaporkan bahawa 22 saman tersebut difailkan awal bulan lalu oleh tiga firma undang-undang, iaitu Rosli Dahlan Saravana Partnership, Skrine & Co dan Lim Chee Wee Partnership.

Saman tersebut menuntut kira-kira AS$ 23 bilion (RM94.4 bilion) daripada defendan.

Antara yang dinamakan sebagai defendan termasuk Najib, bekas pengerusi 1MDB, Che Lodin Wok Kamaruddin serta bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Mohd Hazem Abdul Rahman dan Arul Kanda Kandasamy.

Beberapa ahli keluarga ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low juga dinamakan, termasuk ayah dan adiknya May Lin. 

Individu yang didakwa sebagai rakan sekutu Jho Low iaitu Eric Tan Kim Loong dan Tarek Obaid, yang juga pengasas PetroSaudi International Ltd, turut dinamakan.

Beberapa entiti yang dinamakan adalah Deutsche Bank (Malaysia) Ltd serta Coutts & Co Ltd yang berpangkalan di Switzerland dan JP Morgan (Switzerland) Ltd.

Laporan portal berita perniagaan itu, memetik sumber sebagai berkata kes jenayah dalam skandal 1MDB berjalan terlalu perlahan dan saman sivil itu menunjukkan kesungguhan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam kes berkenaan.

Pada 27 Julai tahun lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC.

Dia memfailkan rayuan berhubung keputusan itu di Mahkamah Rayuan. Tuduhan berkaitan 1MDB masih dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa 1MDB dan SRC mengemukakan 22 saman sivil untuk mendapatkan kembali aset bernilai lebih RM96.6 bilion, termasuk sekitar RM300 juta terhadap pelbagai pihak.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu mengatakan bahawa saman yang difailkan pada 7 Mei itu terdiri daripada enam saman yang dikemukakan 1MDB dan 16 saman oleh SRC.

Saman yang difailkan oleh 1MDB adalah terhadap sembilan entiti, termasuk dua institusi kewangan asing dan 25 individu, manakala SRC memfailkan saman terhadap lapan entiti dan 15 individu kerana pelbagai kesalahan.

 

Tiada ulasan: