HALAMAN SANTAI

Selasa, 15 Jun 2021

PM beri jaminan sidang Parlimen akan dibuka pada September-Oktober


Parlimen Malaysia. 
 
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan proses demokrasi akan tetap didukung kerajaan Perikatan Nasional dan mengumumkan sidang Parlimen akan dibuka semula pada September atau Oktober depan nanti.

Muhyiddin bagaimanapun menegaskan sidang Parlimen tersebut perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan kerajaan terlebih dahulu perlu memastikan usaha memerangi penularan Covid-19 dapat ditangani dengan segera.

“Sidang Parlimen September atau Oktober mengikut SOP yang ketat, pendirian saya sistem demokrasi boleh berfungsi semula pada masa sesuai setelah kes Covid-19 terkawal dan apabila kita hampir mencapai imuniti komuniti berkelompok,” Katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi beberapa stesen televisyen tempatan termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama TV pada petang ini.

Justeru itu, beliau mengingatkan supaya pihak tertentu tidak mengganggu usaha kerajaan dalam memerangi Covid-19 dengan membuat ‘cerita dogeng’ dan tuduhan tidak berasas berhubung isu pembukaan Parlimen.

“Jangan ada kekacauan hingga ganggu tugas kita tangani Covid-19,” katanya.

Terdahulu, meskipun negara masih berhadapan dengan peningkatan kes Covid-19 yang saban hari menunjukkan angka yang menakutkan, pemimpin blok pembangkang seolah-olah kebal dengan pandemik itu malah mendesak Parlimen agar segera dibuka.

Malaysia ketika ini sedang melalui tempoh Darurat selepas Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menggunakan kuasa Baginda berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk menguatkuasakan perintah tersebut.

Baginda yakin bahawa Darurat ini merupakan langkah paling berkesan buat masa ini bagi menghadapi pandemik Covid-19 yang kini mencecah angka yang sangat membimbangkan dalam negara.

Tempoh Darurat ini berkuatkuasa sehingga 1 Ogos 2021 atau satu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid- 19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh tersebut juga pemimpin pembangkang mendesak supaya Darurat dibatalkan, malah sanggup berhimpun depan Istana Negara semata-mata untuk mendesak Agong mendengar cakap mereka.

Tiada ulasan: