HALAMAN SANTAI

Jumaat, 18 Jun 2021

PRK, PRN boleh diadakan selepas darurat tamat, kata pegawai Kit Siang

AAILY
 
Setiausaha politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan.

Mengikut interprestasi Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu diadakan 60 hari selepas ordinan itu tamat.

Setiausaha politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan berkata, pada asalnya ordinan itu tidak menyatakan secara khusus tempoh PRK atau PRN perlu diadakan selepas ia ditamatkan.

Tambahnya, jika diperhalusi sekiranya darurat tamat ia bermaksud Dewan Undangan Negeri (DUN) juga terbubar, maka selepas itu dalam tempoh 60 hari pilihan raya perlu diadakan.

“Bagi kekosongan DUN pula, dan juga PRN Negeri, Ordinan Darurat tidak dinyatakan secara khusus bila ia patut diadakan selepas darurat tamat.

“Oleh itu, dalam kes PRN Sarawak, satu interpretasi adalah selepas darurat tamat maka Dewan Undangan Negeri juga terbubar, dan PRN harus diadakan dalam masa 60 hari daripada tarikh berakhirnya darurat,” katanya petik Malaysiakini.

Dia berkata demikian apabila ditanya berkenaan PRN Sarawak dan beberapa PRK yang perlu diadakan selepas tamat tempoh darurat – sama ada ia perlu diadakan 60 hari dari tarikh tamat darurat iaitu 1 Ogos atau tarikh selepas terbubar Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Jelasnya, dalam ordinan tersebut di bawah Seksyen 12, sekiranya terdapat kekosongan di kalangan Ahli Parlimen, ia harus diisi 60 hari selepasnya tamat darurat, melainkan berdasarkan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan kekosongan itu tidak perlu diisi, iaitu sekiranya ia berlaku dalam masa dua tahun dari tarikh parlimen terbubar dengan sendiri.

Mengulas lanjut mengenai proses tersebut, Syahredzan yang juga peguam berkata apabila tamatnya darurat, mana-mana pilihan raya mesti diadakan seperti peruntukan-peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Maknanya, kita kembali semula kepada apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan dan juga undang-undang,” katanya.

Untuk rekod, DUN Sarawak tamat penggal pada 6 Jun lalu, namun kekal berfungsi selepas itu di bawah Ordinan Darurat hingga 1 Ogos depan.

Manakala, PRK Gerik di Perak, Bugaya dan Batu Sapi di Sabah ditangguhkan susulan pengisytiharan darurat di seluruh negara.

Malaysia ketika ini sedang melalui tempoh Darurat selepas Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menggunakan kuasa Baginda berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk menguatkuasakan perintah tersebut.

Baginda yakin bahawa Darurat ini merupakan langkah paling berkesan buat masa ini bagi menghadapi pandemik Covid-19 yang kini mencecah angka yang sangat membimbangkan dalam negara.

Tempoh Darurat ini berkuatkuasa sehingga 1 Ogos 2021 atau satu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid- 19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Tiada ulasan: