HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 Jun 2021

Pulihkan negara bermula dengan rakyat

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
NURUL IZZAH ANWAR

PETALING JAYA: Program pemulihan negara tidak akan berjaya sekiranya tanpa usaha dan inisiatif bagi melindungi kebajikan rakyat terkesan khususnya golongan B40.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menjelaskan, ia amat penting bagi menyelamatkan rakyat yang kini berisiko terjerumus ke dalam kancah kemiskinan.

Katanya, antara usaha perlu diterjemahkan dalam program pemulihan itu adalah pelaksanaan moratorium bank secara automatik, subsidi gaji dan pengenalan insurans pekerjaan.

“Program pemulihan negara juga terganggu apabila operasi bagi 128,150 syarikat berdaftar walaupun pada awalnya diumum hanya 95,142 syarikat melibatkan kira-kira 1.57 juta pekerja dibenarkan beroperasi.

“Akhirnya menjelang 15 Jun lepas, kes jangkitan hampir mencecah 5,000 sehari dengan wujudnya 639 kluster Covid-19 termasuk daripada tempat kerja dan sektor pembuatan.

“Keengganan mengeluarkan dana untuk membiayai sara hidup rakyat tidak boleh dijadikan alasan untuk pembukaan industri secara berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi empat fasa sebagai jalan keluar negara daripada pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Nurul Izzah menambah, Pelan Pemulihan Negara yang dikatakan strategik keluar seolah-olah memperlihatkan rakyat kini terus dipenjara dengan hukuman jauh lebih berat.

Jelas beliau, ia berlaku apabila perintah berkurung berterusan sekurang-kurangnya sehingga September di samping tanpa bantuan sosioekonomi.

“Jangan sampai kita terlalu tertumpu kepada konsolidasi fiskal. Apa gunanya penarafan hutang negara jika rakyat merana dan ekonomi menjunam?” soal Nurul Izzah.

Beliau menggesa kerajaan melaksanakan Pelan Induk Perlindungan Sosial Kebangsaan bagi memastikan sumber kewangan digunakan secara optimum dan agihan bantuan secara efisien serta menepati sasaran.

“Pertimbangkan bantuan sejagat tanpa memilih bulu dan laksanakan pendaftaran bagi setiap warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan secara automatik.

“Ia membolehkan mereka mendapatkan perlindungan sosial yang amat diperlukan dengan secepat mungkin,” kata beliau.UTUSAN

Tiada ulasan: