Abdul Hakim Rahman
Menurut
Ku Li, peranan memilih Perdana Menteri itu timbul selaras dengan sumpah
jawatan Yang di-Pertuan Agong di hadapan Raja-Raja Melayu yang memilih
baginda mewakili Majlis Raja-Raja Melayu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR:
Raja-Raja Melayu perlu memilih seorang Perdana Menteri yang baharu
untuk mengetuai kerajaan bagi menyelamatkan negara daripada krisis
penularan COVID-19, kata Tengku Razaleigh Hamzah.
Menurut
Ahli Parlimen Gua Musang itu, Raja-Raja Melayu bertanggungjawab
memainkan peranan keperlembagaan itu selepas Dewan Rakyat berdepan
kesukaran memilih Perdana Menteri.
Katanya
yang lebih dikenali sebagai Ku Li, Dewan Rakyat tidak boleh menentukan
Perdana Menteri walaupun ditauliahkan oleh Perlembagaan Persekutuan
kerana pada masa ini ia tidak berfungsi secara menyeluruh.
"Sebahagian
daripada wakil rakyat mempunyai kepentingan kewangan (sama ada secara
terbuka atau pun secara senyap) dan hilang kelayakan mengikut Akta
Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.
"Dewan
Rakyat juga kini dalam keadaan tergantung dan tiada pihak mempunyai
majoriti untuk membuat keputusan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, ada ahli-ahli Parlimen yang tidak menepati peruntukan Perlembagaan berkaitan dengan pemilihan mereka.
Jelas
Ku Li lagi, peranan memilih Perdana Menteri itu timbul selaras dengan
sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong di hadapan Raja-Raja Melayu yang
memilih baginda mewakili Majlis Raja-Raja Melayu.
"Tanggungjawab
ini memerlukan pemilihan seorang pemimpin tanpa kepentingan peribadi,
parti politik mahu pun pertimbangan peribadi.
"Pemimpin
yang dipilih harus mampu memahami keadaan semasa negara yang berhadapan
krisis akibat covid-19 untuk memimpin sebuah kerajaan yang boleh
mengatasi krisis itu," katanya.
Sumpah
jawatan Yang di-Pertuan Agong itu antara lain menyebut tentang peranan
institusi itu dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang dan keamanan
negara.
Sebelum ini, Istana Negara
memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah akan membawa kepada Raja-Raja Melayu semua
pandangan yang disuarakan oleh ketua-ketua parti politik kepada baginda
sejak seminggu lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan