HALAMAN SANTAI

Rabu, 9 Jun 2021

ROS: Tangguh semua mesyuarat agung tahunan, kecuali secara maya

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Semua pertubuhan berdaftar hendaklah menangguhkan mesyuarat agung tahunan masing-masing, selaras pelaksaaan sekatan pengerakan penuh dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 Jun, demikian menurut Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

ROS dalam kenyataan bagimanapun memaklumkan pengecualian diberikan jika mesyuarat itu mampu dilakukan secara maya menurut prosedur operasi standard (SOP) PKP dan memenuhi syarat-syarat asas pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan seperti yang termaktub dalam perlembagaan pertubuhan masing-masing.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat agung tahunan boleh dilaksanakan dalam tempoh PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) dengan pematuhan ketat berdasarkan kepada SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ROS.

"Sehubungan itu, semua pertubuhan berdaftar hendaklah mengemukakan permohonan bertulis bagi tujuan penangguhan pelaksanaan mesyuarat agung tahunan kepada ROS dengan mengemukakan cadangan tarikh pelaksanaan dan SOP tambahan sebaik sahaja tempoh PKP berakhir.

"Semua pertubuhan hendaklah mengemukakan penyata tahunan kepada ROS dalam tempoh 60 hari selepas mesyuarat agung tahunan diadakan selaras dengan peruntukan Seksyen 14(1), Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335)," menurut kenyataan itu, hari ini.

Tegas ROS, pertubuhan berdaftar hendaklah melaksanakan Mesyuarat Agung Tahun bagi memastikan pengurusan pertubuhan dapat dilaksanakan dengan baik selaras dengan kehendak perlembagaan pertubuhan dan akta sedia ada.- Bernama

Tiada ulasan: