HALAMAN SANTAI

Khamis, 10 Jun 2021

Semalam ADUN Amanah, hari ini bekas pemimpin STAR pula dituduh cabul

 Oleh UtusanTV

Philip AMong ketika dibawa untuk siasatan lanjut berhubung dakwaan cabul sebelum ini./ Gambar fail

SEMALAM, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan serangan seksual di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Hari ini, satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 354 dikenakan ke atas seorang ahli politik, kali ini berlaku di Kota Kinabalu.

Seperti mana ADUN Amanah itu, Philip Among yang merupakan bekas pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) juga membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Philip yang juga ahli perniagaan dikenakan lima pertuduhan mencabul kehormatan termasuk empat membabitkan peserta Unduk Ngadau, pada April dan bulan lepas.

Memetik laporan Bernama, Philip Among, 52, didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan terhadap seorang wanita di sebuah rumah penginapan di sini, pada 11 malam, 17 April lepas.

Dia juga didakwa atas empat pertuduhan melakukan kesalahan sama ke atas seorang peserta Unduk Ngadau di beberapa lokasi berbeza di Kota Kinabalu, antara 2 petang dan 10 malam pada 19 Mei.

Kesemua pertuduhan dikemukakan menurut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika disabitkan kesalahan.

Majistret Jessica Ombou Kakayun membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin dan menetapkan 14, 21 dan 22 Julai ini untuk pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Amirah Muhammad Ali sementara tertuduh diwakili peguam Marcel Jude.

Unduk Ngadau merupakan pertandingan ratu cantik tradisional tahunan yang diadakan bersempena perayaan Pesta Kaamatan yang disambut oleh etnik Kadazandusun serta rakyat di negeri ini pada setiap Mei.

Tiada ulasan: