Astro Awani
Kata
Mohd Zaidi, semua pihak harus bersatu dan memikirkan negara ketika
berdepan dengan krisis luar biasa melibatkan isu kesihatan, politik dan
ekonomi yang sedang mencengkam. - Bernama
KUALA LUMPUR:
Peringatan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein agar
sidang Parlimen tidak boleh digunakan untuk mencetuskan ketidakstabilan
perlu diterima secara terbuka semua ahli Parlimen dari setiap parti
politik.
Ketua UMNO Bahagian Permatang
Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, sidang Parlimen tidak boleh
digunakan untuk mencetuskan ketidakstabilan, selain semua pihak harus
bersatu dan memikirkan negara ketika berdepan dengan krisis luar biasa
melibatkan isu kesihatan, politik dan ekonomi yang sedang mencengkam.
"Tiada sesiapa pun akan menang jika kita asyik berpolitik dalam semua hal dan mahu terus berebut kuasa.
"Seruan
Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein jelas mahukan
ahli-ahli politik meletakkan kepentingan rakyat dan negara di hadapan.
"Masa untuk berpolitik akan sampai apabila kita telah memenangi perang melawan pandemik ini.
"Pembangunan
negara selepas pendemik adalah urusan serta tanggungjawab semua pihak
dan pemimpin politik sudah semestinya bertanggungjawab mengaris jalan
keluar dari era kesusahan rakyat ketika ini dengan pelan dan kerangka
kerja yang luar biasa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu,
Hishammuddin berkata, desakan politik agar Parlimen dibuka semula tidak
boleh mempunyai agenda tersembunyi dan seruan agar Parlimen kembali
bersidang tidak boleh dijadikan alat pemuas nafsu politik sesetengah
individu.
Dalam hantaran terbaharu di laman hishammuddin.com.my, beliau turut menggariskan tiga perkara utama yang perlu difokuskan sekiranya Parlimen dibuka semula.
Dalam
pada itu kata Mohd Zaidi, mesej Hishammuddin itu jelas menunjukkan
kuasa dan pandangan politik tidak boleh diketepikan oleh kerajaan.
"Cuma saat dan ketika itu yang belum sampai untuk membuka gelanggang bagi semua pencinta jawatan 'menyinsing lengan'," ujarnya.
Sementara
itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Md Alwi Che Ahmad
menjelaskan sekarang adalah masa membina semula sebuah negara yang
kukuh.
Tegasnya, semua pihak perlu bersama-sama membantu untuk keluar dari isu pandemik dan tugas satu pihak semata-mata.
"Kerajaan
jangan ada sifat terlalu anti-pembangkang dan pembangkang juga jangan
ada sifat hendak jatuhkan kerajaan pada setiap masa semasa pandemik ini.
"Rakyat
sudah muak dengan pertelingkahan politik kepartian yang tiada
penghujung. Masing-masing perlu ada tanggungjawab besar kepada kawasan
masing-masing.
"Ahli Parlimen ini kerjanya memberi kestabilan kepada negara terutama pada masa susah kini," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan