HALAMAN SANTAI

Jumaat, 18 Jun 2021

Tiada lagi alasan ‘kesihatan’ tangguh Parlimen

Memandangkan semua Ahli Parlimen sudah divaksin, mereka mempunyai 
imuniti kelompok sendiri dan tidak perlu takut untuk bersidang, walau ia 
dihadiri semua Ahli Parlimen secara fizikal, kata Dzulkelfy Ahmad. 
(Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang bekas menteri kesihatan berkata tiada lagi alasan “kesihatan” untuk menangguhkan Parlimen kerana semua Ahli Parlimen sudah divaksin.

“Kami mempunyai imuniti kelompok kami sendiri,” kata Dzulkelfy Ahmad kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya Parlimen bersidang secepat mungkin.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, hakikatnya walaupun wakil rakyat sudah diinokulasi, idea untuk mengadakan Parlimen secara hibrid juga ditolak.

Jelas Dzulkefly lagi, vaksin Pfizer yang diterima sebahagian besar Ahli Parlimen, menghalang mereka daripada dijangkiti Covid-19 sehingga 95%.

Ia turut mencegah mereka daripada menyebarkan virus itu sehingga 90-97%, katanya.

Dzulkefly berkata, walaupun vaksinasi tidak menjamin seseorang itu tidak akan dijangkiti, mereka yang diinokulasi tidak akan mengalami kes Covid-19 yang teruk, sehingga perlu dimasukkan ke hospital atau menyebabkan kematian.

“Dalam kata lain, kita semua dilindungi. Oleh itu, tidak ada alasan sama sekali,” katanya, sambil menambah bahawa Ahli Parlimen perlu digalakkan untuk mengamalkan pendekatan “3C” dan “3W”.

Konsep 3C merangkumi mengelakkan tempat yang sesak, kawasan yang sempit dan bertutur dengan jarak dekat, manakala 3W adalah kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka dan peringatan kepada diri sendiri.

Sementara itu, sebuah badan pemikir Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, Speaker tidak sepatutnya bersembunyi di belakang Ketua Pengarah Kesihatan dalam isu ini.

Tugasnya adalah untuk melancarkan sidang Parlimen dan mencari jalan untuk melaksanakannya, kata Ketua Eksekutifnya Azrul Mohd Khalib.

Azrul berkata, jika perlu persidangan hibrid masih boleh dilakukan, sambil merujuk kepada UK dan Singapura yang mengadakan sidang Parlimen mereka lebih setahun lalu.

Malaysia, katanya, perlu belajar daripada mereka.

“Dalam hal ini, persoalan yang perlu dibangkitkan adalah: “bagaimana kita dapat menjadikan pembukaan semula sidang Parlimen selamat?’ dan bukannya ‘Perlukah Parlimen bersidang?'”

Azrul berkata, Speaker perlu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menjayakan sidang Parlimen.

Tiada ulasan: