HALAMAN SANTAI

Selasa, 15 Jun 2021

Tiada PRU15 semasa pandemik, PAS juga setuju dengan gesaan UMNO


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan. 
 
PAS menyambut baik gesaan UMNO supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak diadakan semasa negara masih berdepan penularan pandemik Covid-19.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan pendirian UMNO itu tepat pada masanya bagi memberikan peluang kepada kerajaan Perikatan Nasional untuk menumpukan usaha menangani Covid-19 disamping dapat membantu rakyat yang terjejas.

“PAS berpandangan kenyataan tersebut amat tepat dan kena pada masanya memandangkan fokus seluruh jentera Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri sekarang adalah bagi memerangi pandemik Covid-19 yang masih belum reda, baik di Malaysia mahupun di seluruh dunia.

“Begitu juga parti-parti politik turut sama menumpukan kepada usaha membantu rakyat yang terkesan teruk dengan wabak ini bukan sahaja dalam aspek kesihatan tapi juga aspek ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, rakyat perlu mengenepikan fahaman dan ideologi politik bagi bersama-sama membantu kerajaan dalam menyelesaikan penularan wabak yang melanda kerana tanpa permuafakatan antara satu sama lain ia akan menyukarkan usaha yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Justeru itu PAS turut menyeru semua pihak terutama parti-parti politik dan NGO tanpa mengira fahaman dan aliran pemikiran agar sama-sama dapat membantu Kerajaan menguruskan dan menyelesaikan wabak yang merupakan darurat besar (grave emergency) ini.

“Ini sekaligus bermaksud isu-isu yang boleh menimbulkan ketegangan, keburukan dan kerugian masa, tenaga dan kewangan wajar dielakkan semaksima mungkin,” katanya lagi.

Beliau juga berkata kerajaan sentiasa menerima pandangan semua pihak demi memastikan kebajikan rakyat dibela semasa berdepan cabaran pandemik ketika ini.

PAS yakin Kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah yang proaktif dengan mengambil kira pandangan dan cadangan semua pihak bagi memastikan kebaikannya akan dirasai oleh seluruh rakyat dan penduduk Malaysia,” ujarnya.

Terdahulu, Pengarah Pilihan Raya UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata PRU15 tidak wajar diadakan semasa negara masih bergelut dengan penularan Covid-19 sebaliknya UMNO perlu bersama membantu kerajaan

Tajuddin menyifatkan sekiranya PRU15 diteruskan atas desakan pihak tertentu yang mempunyai kepentingan diri sendiri ia akan membantut usaha diambil kerajaan dalam mengekang penularan Covid-19 yang melanda negara.

“Seharusnya ahli UMNO membantu kerajaan dalam usaha memberi fokus mencegah, memerangi serta mengurangkan risiko kadar kebolehjangkitan virus Covid-19,” katanya.

Tiada ulasan: