HALAMAN SANTAI

Jumaat, 18 Jun 2021

Agong lebih serius bincang isu Covid-19 berbanding sidang Parlimen

AGENDA DAILY

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata beliau mendapati Yang di-Pertuan Agong lebih serius berbincang berhubung isu berkaitan Covid-19, berbanding sidang Parlimen.

Pada 10 Jun lalu Tuan Ibrahim mewakili Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang masih menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, perbincangan berlangsung hampir satu jam berkisar kepada perkembangan isu Covid-19, darurat dan persidangan Parlimen.

“Tuanku sangat terbuka dan mesra berbincang, namun baginda serius apabila menitahkan hal-hal yang berkaitan kes-kes Covid-19 yang sedang berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PAS merupakan sebahagian daripada komponen kerajaan akan terus mendukung pendirian yang diambil untuk menangani pandemik Covid-19 yang melanda negara hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, PAS menyanjung tinggi titah pandangan Yang di-Pertuan Agong yang menekankan supaya semua pihak mewujudkan suasana tenang dengan mengurangkan politiking supaya kerajaan dan semua pihak dapat memberikan fokus untuk menangani wabak Covid-19 dan menjaga kebajikan rakyat yang terkesan.

Katanya, PAS yakin dengan usaha dan komitmen Kerajaan Persekutuan yang telah berjaya memberikan suntikan vaksin Covid-19 secara konsisten melebihi 200,000 dos sehari.

Menurutnya, ia sebagai kayu ukur dalam mencapai sasaran 80 peratus rakyat divaksin sehingga hujung tahun ini.

“Selaras dengan strategi Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, PAS melihat perancangan kerajaan melalui empat fasa yang dikemukakan mampu menguruskan krisis kesihatan dan memulihkan ekonomi negara dengan baik,” ujarnya.

Beliau berkata, PAS juga meyakini bahawa titah pandangan Yang di-Pertuan Agong berkenaan sidang Parlimen adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen sebagaimana juga yang dinyatakan oleh Perdana Menteri.

“Keprihatinan Baginda Tuanku dan seluruh Duli-Duli Raja-Raja Melayu perlu disambut secara serius oleh seluruh rakyat Malaysia untuk memastikan Malaysia bebas daripada wabak Covid-19,” tambahnya.

Rabu lalu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan memaklumkan Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak Covid-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi merupakan satu-satunya ‘exit strategy’ bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Tiada ulasan: