HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 Jun 2021

UMNO hargai kecaknaan Yang di-Pertuan Agong

Oleh MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN
AHMAD ZAHID HAMIDI

KUALA LUMPUR: UMNO menghargai kecaknaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengambil kira segala isu dan pendirian parti yang dipersembahkan ketika menghadap pada 11 Jun lalu.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam sesi menghadap Seri Paduka minggu lalu, beliau turut menjelaskan bahawa Parlimen harus dibenarkan untuk memainkan peranan sebagai saluran rasmi dalam membawa suara rakyat.

Jelas beliau, ini berikutan rakyat sedang dalam kesempitan seperti tuntutan moratorium automatik, kawalan harga barang, program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan i-Lestari serta pelbagai jenis bantuan khas dan sekali gus memulihkan ekonomi negara.

“UMNO juga mempersembahkan pendirian berkenaan dengan keperluan untuk darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos 2021 kerana kemudaratannya lebih besar kepada negara sedangkan tanpa darurat kerajaan masih boleh menguruskan isu-isu berkaitan pandemik Covid-19.

“UMNO juga mendukung dan memandang serius saranan Seri Paduka akan keperluan mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil, kukuh dan berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani Covid-19 serta memulihkan ekonomi negara.

“Justeru, UMNO menjunjung kasih dan menyokong penuh titah Seri Paduka yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

“Ini jelas menzahirkan kebijaksanaan dan keprihatinan Seri Paduka dan Raja-Raja Melayu terhadap segala keresahan dan kegelisahan rakyat terhadap pelbagai krisis yang sedang melanda negara ketika ini,” katanya dalam kenyataan.

Petang tadi, Seri Paduka menzahirkan pandangan sesi Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa-Kuasa Perlu (2021) dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) dibolehkan bersidang mengikut kaedah dan pelaksanaan beberapa negara yang berjaya mengawal penularan wabak Covid-19.  UTUSAN

Tiada ulasan: