HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 Jun 2021

UMNO lebih minat bersama blok pembangkang: Pemerhati politik

UMNO sekarang ini dilihat lebih mesra dengan blok pembangkang selepas rancangan pembentukan jajaran baharu Perikatan 3.0. 
 
UMNO kini dilihat lebih tertarik kepada mewujudkan jajaran politik baharu sebagaimana dibayangkan Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk duduk di bawah ‘payung besar’ bersama blok pembangkang yang turut disertai DAP.

Penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis yang merujuk kepada desakan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed supaya sokongan terhadap PAS ditarik semula, melihat bahawa parti itu kini lebih tertarik dengan jajaran politik baharu.

Gesaan Nur Jazlan itu katanya secara tidak langsung memberi petunjuk sokongan UMNO terhadap PAS semakin terhakis dan peluang itu kini ‘diintai’ oleh ‘rakan politik baharu’ bagi mengantikan posisi parti Islam itu.

“Sebelum ini pun, ada beberapa pemimpin (UMNO) mereka dikaitkan dengan DAP dan kali ini wujud pula gesaan (Nur Jazlan) yang menunjukkan hakisan sokongan kepada PAS.

“Namun, pemimpin UMNO tahu mereka tidak boleh bersendirian dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan apabila ada gesaan sebegini, pihak pembangkang mungkin dalam masa sama mengintai peluang untuk bersama UMNO,” katanya dipetik daripada laporan Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Nur Jazlan membuat gesaan agar UMNO menamatkan kerjasama dengan PAS di dalam Muafakat Nasional (MN) selepas melihat pemimpin parti Islam itu lebih mementingkan wang dan kuasa.

Terdahulu, Agenda Daily melaporkan, Zahid membayangkan bakal terbentuk jajaran baharu politik bersama PKR dan DAP yang akan dikenali sebagai Perikatan 3.0 dan bukannya Perikatan Nasional (PN) ketika PRU15 nanti.

Pendedahan terbuka Zahid itu secara tidak langsung mengukuhkan lagi khabar angin sebelum ini dengan menyifatkan langkah tersebut diambil sesuai dengan dinamik politik yang sedang berlaku mengikut perubahan dan keadaan politik semasa negara.

Khabar angin juga semakin kuat kedengaran Zahid adalah perancang utama untuk menjayakan kerjasama antara UMNO dengan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU15 nanti.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr Mazlan Ali berkata, kenyataan Nur Jazlan itu memberi gambaran penolakan penuh UMNO Johor terhadap kerjasama membabitkan PAS.

“Ini bukan perkara pelik kerana sebelum ini pun Nur Jazlan telah menyatakan pendirian sama.

“Selain beliau, beberapa pemimpin UMNO lain dari negeri tersebut juga mengeluarkan kenyataan senada. Jadi itulah hala tuju kebanyakan pemimpin UMNO sekarang,” ujarnya.

Bagi Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), D. Kartini Aboo Talib pula kenyataan Nur Jazlan bersifat peribadi itu dikeluarkan selepas tidak lagi boleh memainkan peranan besar dalam kerajaan dan menyedari bahawa UMNO berdepan saingan sukar pada PRU15.

“Desakan dalaman UMNO yang mahu kepimpinan baharu juga menjadikan ramai yang menepuk air ke dulang terpercik ke muka sendiri,” katanya.

Tiada ulasan: