HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 Jun 2021

UMNO tetap kena terima ‘Jeneral Anwar’

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata UMNO mesti menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'jeneral'. 
 
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sekali lagi menegaskan UMNO mesti menerima Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘jeneral’ jika tetap mahu masuk di bawah ‘khemah besar’.

Katanya konsep khemah besar yang dipersetujui ketika pemukiman PH April lalu akan membolehkan gabungan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bekerjasama dengan UMNO untuk membentuk kerajaan baharu.

“Ia boleh menjadi kenyataan jika UMNO memenuhi prasyarat ditetapkan iaitu menerima agenda reform (pembaharuan) dan praktis tadbir urus baik dalam sebuah kerajaan.

“Ketika pemukiman di Port Dickson tempoh hari, ketetapan nombor satu menyebut PH dalam memasuki pilihan raya yang akan datang meletakkan Anwar sebagai jeneral yang akan memimpin jentera kempen,” katanya.

Memetik laporan Utusan Malaysia hari ini Saifuddin berpendapat UMNO yang berkehendakkan jajaran baharu politik dinamakan Pakatan 3.0, ianya bersifat luas.

“Walaupun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyebut jajaran baharu atau gabungan politik baharu yang dinamakan Perikatan 3.0, PH lebih bersetuju kepada konsep ‘khemah besar’.

“Ia bersifat lebih luas termasuk kerjasama dengan masyarakat madani dan individu-individu yang ada pengaruh,” katanya baru-baru ini.

Namun, beliau menegaskan UMNO harus menerima perkara yang disepakati dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya kedudukan Islam dan institusi raja-raja Melayu, Perkara 153 mengenai hak istimewa orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Bagaimanapun, dalam laporan itu beliau memberitahu PH belum mengadakan perbincangan spesifik dengan UMNO dan parti-parti lain berhubung perkara itu kerana PH belum membuka jalan perundingan secara rasmi.

Mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerjasama tidak akan berlaku kerana UMNO tidak dapat menerima syarat PH yang mahu Anwar menjadi Perdana Menteri kesembilan, Saifuddin berkata, keputusan akhir sangat bergantung kepada dinamik perbincangan.

“Itu pandangan peribadi Tun dan tidak mewakili PH. Jika PH diberi kepercayaan oleh rakyat untuk kembali menjadi kerajaan, maka Anwar kekal sebagai calon Perdana Menteri PH. Itu resolusi nombor satu. Dalam konteks pendekatan ‘khemah besar’, ini akan tetap kita sampaikan sebagai keputusan ataupun pendirian PH,” katanya.

Beliau berharap isu kepimpinan ini dapat dimuktamadkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selaras dengan amalan PH ketika PRU14 yang mengumumkan bakal Perdana Menteri bersama-sama manifesto dan calon pilihan raya

Tiada ulasan: