HALAMAN SANTAI

Khamis, 10 Jun 2021

UMNO tuntut lima perkara untuk rakyat bukan MAGERAN

PERGERAKAN Pemuda UMNO hari ini mempersoalkan tindakan Pejabat Perdana Menteri membuat perutusan membantah cadangan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) untuk ganti kerajaan.

Ketuanya, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pergerakan itu tidak pernah mendengar mana-mana parti utama tuntut MAGERAN.

‘’ Kalau di pihak UMNO, yang pasti kepimpinan setakat ini secara konsisten hanya menuntut lima perkara utama untuk rakyat,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lima perkara itu ialah Darurat ditamatkan dan tidak diteruskan selepas 1 Ogos ini kerana selama hampir enam bulan ternyata ia tidak mengurangkan kes Covid kepada dua angka.

‘’Kedua, manfaatkan kuasa Darurat di bawah Ordinan Darurat yang ada, untuk bantu rakyat termasuk arah bank tawar moratorium tanpa caj/faedah tambahan dan ketiga manfaatkan kuasa Darurat di bawah Ordinan Darurat yang ada, untuk kawal harga barang dan bantu rakyat dengan pelbagai bantuan termasuk i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0,’’ katanya.

UMNO tegas Asyraf Wajdi ialah turuut menuntut kerajaan  memanfaatkan kuasa Darurat di bawah Ordinan Darurat yang ada, untuk buat total lockdown secara total bukan separa masak.

‘’Perkara kelima ialah buka Parlimen untuk pertahankan semangat dan prinsip demokrasi agar ada akauntabiliti terhadap segala keputusan kerajaan seperti perbelanjaan wang rakyat, penggunaan Kumpulan Wang Amanah, pengurusan Covid-19, proses imunisasi dan vaksinasi termasuk aspek perolehan dan kontrak-kontrak pembelian vaksin dan lain-lain,’’ katanya.

Beliau menegaskan, UMNO sebagai sebuah parti, walaupun sebahagian ahli-ahli Parlimen berada dalam kerajaan sementara Perikatan Nasional, tidak pernah bersetuju bahkan tidak langsung dirujuk mengenai proklamasi Darurat. 

‘’Malah, alasan Darurat kerana hendak menangani Covid-19 juga turut diragui,’’ tegasnya.

Sebab itulah kata beliau lima tuntutan itu secara konsisten diperjuangkan UMNO agar tempoh Darurat yang berkuat-kuasa dimanfaatkan sepenuhnya untuk kerajaan menggunakan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk bantu rakyat. 

‘’UMNO tidak pernah menuntut MAGERAN ditubuhkan yang pastinya bertentangan dengan pendirian yang diputuskan setakat ini untuk Darurat  ditamatkan atau tidak diteruskan selepas 1 Ogos,’’ tegas beliau lagi.

Semalam, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Dr.Marzuki Mohamad melalui sidang video menegaskan, mencapai herd immunity melalui vaksinasi adalah jalan keluar kita daripada pandemik Covid-19.

Tegas beliau, kerajaan pada hari ini telah pun mempunyai mekanisme yang bersesuaian untuk mengurus Darurat, iaitu satu bentuk Darurat Kesihatan, bukan Darurat Keselamatan. 

Oleh itu kata beliau, gesaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mewujudkan sebuah badan yang berkuasa mutlak seperti MAGERAN bukanlah satu langkah yang sesuai. 

‘’Ia adalah satu langkah ke belakang yang akan merencatkan perancangan kerajaan dan segala usaha penjawat awam, para frontliners, pihak industri dan rakyat seluruhnya untuk memulihkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi yang sedang kita hadapi pada masa ini,” katanya.

Tiada ulasan: