HALAMAN SANTAI

Ahad, 20 Jun 2021

Walaupun bukan Ahli Parlimen, Asraf masih mahu sidang Parlimen dibuka

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Foto kredit Facebook Asraf Wajdi

Walaupun tidak berjawatan dan kalah semasa bertanding di kerusi Parlimen Pasir Puteh lalu, Ketua Pemuda UMNO Datuk Asraf Wajdi Dusuki masih meneruskan gesaannya supaya sidang Parlimen dibuka dengan segera selepas titah Agong baru-baru ini.

Untuk rekod, Asraf tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu kepada calon PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan tidak pernah memenangi sebarang kerusi dalam PRU dan hanya menang pun jawatan Ketua Pemuda UMNO sahaja.

“Kita mendesak kerajaan segera mengeluarkan notis panggilan bagi membolehkan Parlimen bersidang sebelum Darurat tamat 1 Ogos mentaati dan menghormati titah pandangan dan pendirian Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah.

“Sidang Parlimen ini amat mustahak untuk disegerakan bagi membolehkan suara, harapan dan pelbagai tuntutan rakyat yang sedang dalam keresahan serta kesempitan ketika ini dapat diperbahaskan secara rasmi oleh wakil mereka yang telah dipilih melalui sistem demokrasi berparlimen,” katanya dalam satu kenyataan.

Tidak pasti sama ada pihak Parlimen akan menyediakan tempat khas kepada Asraf untuk hadir sama bagi mendengar perbahasan dalam Dewan Rakyat nanti, mungkin permohonannya boleh dipertimbangkan.

Dalam pada itu Asyraf berkata, istilah ‘secepat mungkin’ yang digunakan Seri Paduka Baginda amat jelas memberikan indikasi untuk Parlimen dibuka segera.

“Pemuda amat terkilan dengan sikap Kerajaan yang dilihat cuba berdolak-dalih dan mempolemikkan istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ seolah-olah tidak menghormati titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Pemerintah,” ujarnya lagi.

Kenyataan Asraf ini dilihat senada dengan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan juga dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zahid yang menganggap Anwar sebagai cikgunya selepas tular klip audio perbualan mesra kedua-duanya juga memberi tekanan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya membuka sidang Parlimen dengan segera.

Tiada ulasan: