HALAMAN SANTAI

Ahad, 13 Jun 2021

Zahid minta i-Sinar 2.0

Manzaidi Mohd Amin
MGF11062021_ZAHID-NGADAP-AGONG07
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Ramai mula mengeluh selepas hampir dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh suam-suam kuku berlangsung.

Mereka bertambah mengeluh apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) melanjutkan lagi tempoh dua minggu PKP 3.0 sehingga 28 Jun ini.

Demikian zahir Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas menerima aduan rakyat mengenai ketidak selesaan mereka dengan PKP 3.0 yang disifatkan pelaksanaannya bagai suam-suam kuku.

Beliau berkata, daripada pemilik perniagaan sehinggalah kepada pemandu teksi dan golongan penjaja, ada antaranya sama ada dibenarkan atau tidak dibenarkan sama-sama terkesan.

“Yang tidak dibenarkan beroperasi sudah pasti kehilangan sumber pendapatan, manakala yang dibenarkan beroperasi pun susah untuk mencari makan.

“Abang burger contohnya, perlu mula berniaga seawal tengah hari, sedangkan majoriti rakyat ‘lunch‘ makan nasi. Jika bermula sebelah petang cuma beberapa jam sahaja berpeluang berniaga sebelum berakhir jam 8 malam.

“Begitu juga dengan peniaga nasi lemak, mereka cuma boleh berniaga mula jam 8 pagi, iaitu ketika waktu orang ramai telah ke tempat kerja,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata, pemandu teksi dan e-hailing pula walaupun dibenarkan beroperasi, lebih banyak menghabiskan masa menunggu daripada menghantar penumpang.

Katanya, itu belum termasuk golongan pekerja yang terpaksa ikat perut kerana gaji dipotong atau elaun disekat.

“Jika mahu disentuh satu persatu rakyat yang terkesan pasti berjela senarai perlu ditulis.

“Keadaan bertambah sukar apabila harga barang entah mengapa dan bagaimana boleh meningkat. Jadi, kita tidak mahu cerita lebih. Kita desak kerajaan mengumumkan skim i-Sinar dilanjutkan.

“Lanjutkan skim i-Sinar 2.0 bagi membantu rakyat yang berterusan berdepan dengan kesukaran akibat pandemik,” katanya.

Kata Ahmad Zahid, jika amaun tidak seperti pengeluaran skim i-Sinar 1.0, sekurang-kurangnya berikan sebahagian daripada jumlah itu.

Lagipun, katanya, tiada siapa dapat memberi jaminan penularan Covid-19 dapat dibendung dengan cepat, tambahan pula pendekatan ‘semi lockdown’ mengundang kebimbangan PKP akan berterusan untuk tempoh yang lebih lama.

Ujar bekas Timbalan Perdana Menteri ini, jika pun sektor ekonomi dan sosial kembali dibuka sepenuhnya dalam tempoh terdekat, mereka yang telah terkesan akan mengambil masa untuk pulih.

Maka, pengeluaran skim i-Sinar 2.0 pasti akan sangat-sangat membantu untuk mereka berusaha bangkit semula. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: