HALAMAN SANTAI

Ahad, 20 Jun 2021

Zahid senada dengan Anwar dan DAP, desak lagi Parlimen dibuka segera


Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi senada dengan cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi senada pendirian dengan bakal rakan sejawat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP yang menggesa supaya sidang Parlimen dibuka dengan segera kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Zahid meneruskan tekanan terhadap kerajaan PN dengan berkata Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh memanggil Parlimen untuk bersidang bila-bila masa tanpa menerima nasihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pandangan kedua jika pun Ordinan Darurat telah mengatasi Perlembagaan Persekutuan, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengarahkan Parlimen bersidang tanpa nasihat Perdana Menteri.

“Ini kerana apabila Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan tidak terpakai, maka Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan iaitu Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Kabinet juga tidak terpakai,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut anak murid Anwar tersebut, Ordinan Darurat memberi kuasa kepada Agong memanggil sidang Parlimen tanpa perlu menunggu nasihat Perdana Menteri.

Ujarnya, Seksyen 14 Ordinan Darurat memperuntukkan sidang Parlimen boleh dipanggil, diprorog dan dibubar pada satu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Agong sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

Seksyen 15 Ordinan Darurat pula memperuntukkan Agong boleh memanggil, memprorog dan membubar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas berunding dengan Raja dan Yang di-Pertua Negeri, tambahnya.

Secara umumnya kata Zahid, kesemua pandangan itu mengilhamkan resolusi, Agong sememangnya boleh memanggil sidang Parlimen bagi diadakan pada bila-bila masa.

“Pandangan-pandangan itu malah, dilihat selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong pada 24 Februari 2021 bahawa sidang Parlimen boleh diadakan sepanjang tempoh Darurat.

“Pandangan-pandangan terbabit juga selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong beberapa hari lalu supaya Parlimen kembali bersidang secepat mungkin,” tegasnya.

Terdahulu, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang juga mengeluarkan desakan selari dengan pendirian Zahid yang mahu Muhyiddin membuat keputusan selewat-lewatnya esok untuk memanggil sidang Dewan Rakyat pada 19 Julai.

Katanya, ia bagi menghormati peruntukan Peraturan Mesyuarat yang memerlukan notis sekurang-kurangnya 28 hari sebelum persidangan bermula.

“Perkara ini bermakna esok 20 Jun 2021 adalah tarikh akhir untuk Perdana Menteri memanggil sidang Dewan Rakyat pada 19 Julai dengan menghormati peruntukan Peraturan Mesyuarat ini.

“Sekiranya Kabinet hanya bermesyuarat pada hari Rabu, 23 Jun 2021, ia tidak akan dapat memanggil sidang Parlimen pada 19 Julai dan pada masa yang sama menghormati peruntukan Peraturan Mesyuarat, walaupun masih terdapat ruang untuk mengadakan sidang Parlimen dalam 10 hari terakhir bulan Julai di antara 22 sehingga 30 Julai 2021,” kata Kit Siang.

Ketua Pembangkang, Anwar juga terdahulu membuat desakan sama dengan memberi kata dua kepada Muhyiddin untuk memanggil sidang Parlimen atau berundur secara terhormat.

Tiada ulasan: