HALAMAN SANTAI

Rabu, 16 Jun 2021

Zahid takut ke nak panggil semua MP UMNO? soal Nazri

Datuk Seri Nazri Aziz membidas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 
 
Pemimpin senior parti, Datuk Seri Nazri Aziz menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya memanggil semua Ahli Parlimen (MP) daripada parti itu untuk berjumpa bagi membincangkan hala tuju negara dan juga mendengar pandangan semua pihak.

Bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menyifatkan Zahid sebagai seorang yang penakut untuk berdepan semua MP UMNO dan dilihat hanya menerima pandangan penyokongnya sahaja sehingga mengasingkan pertemuan secara senyap-senyap tanpa pengetahuan MP UMNO yang lain.

“Jadi mengapa tak jumpa Ahli Parlimen, takut ke?

“Apa-apa pun kita kena panggil Ahli Parlimen termasuklah Menteri ini apa yang sulit nak diasingkan Ahli Parlimen, jadi saya merasa hairan walau apa pun keputusan yang diambil tak akan mengikat Ahli Parlimen Barisan Nasional yang tidak dipanggil,” katanya kepada Agenda Daily.

Nazri memberitahu menerima maklumat wujud mesyuarat sulit yang sedang dirancang oleh Zahid tetapi ia hanya melibatkan konco-konconya yang juga adalah penyokong tegarnya sahaja.

“Saya dengar (ada mesyuarat) tapi saya merasa hairan kenapa jumpa Menteri jumpalah Ahli Parlimen UMNO-BN nak bincang apa sekalipun, Menteri pun ambil keputusan dia pun berapa orang sahaja,” katanya lagi.

Nazri mengulas laporan sebuah portal semalam berhubung kononnya wujud pertemuan antara Zahid dengan Menteri Kabinet UMNO bagi membincangkan hala tuju negara khususnya melibatkan isu Darurat.

Bagaimanapun, mesyuarat tersebut tidak berjalan dan ia sekadar khabar angin yang sengaja menimbulkan spekulasi pada ketika para pemimpin parti politik dipanggil menghadap di Istana Negara.

Terdahulu, Nazri membidas Zahid kerana membawa agenda peribadinya semasa pertemuan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini.

Ahli Parlimen Padang Rengas tersebut mendedahkan Zahid tidak pernah memanggilnya atau mana-mana MP UMNO lain untuk dirunding terlebih dahulu dan duduk semeja bagi membincangkan berhubung hala tuju yang ingin dipersembahkan kepada Tuanku.

“Saya sebagai Ahli Parlimen UMNO saya tidak pernah dirunding macam sekarang, kata nak jumpa Agong atau apa sahaja sepatutnya kita duduklah berbincang nak hala tuju… ini tidak,” katanya.

Zahid selepas pertemuan menghadap Agong pada Jumaat lalu berkata UMNO mengambil pendirian agar darurat yang sedang berkuat kuasa sekarang ditamatkan selepas 1 Ogos dan sidang Parlimen dapat diteruskan seperti biasa.

Bagaimanapun, Nazri menyifatkan keputusan tersebut dibuat Zahid secara bersendirian dan menegaskan pandangan peribadi tidak semestinya mewakili pendirian sesebuah parti, malahan sebarang ketetapan perlu melibatkan semua MP UMNO.

Tiada ulasan: