HALAMAN SANTAI

Selasa, 14 September 2021

Ahli PAS mesti jayakan pemerkasaan marhalah usrah

HARAKAH DAILY
 

KUANTAN: Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang telah menganjurkan Tamrin Pemerkasaan Marhalah Usrah yang diadakan secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom.

Seramai 344 peserta dalam kalangan ahli usrah yang sudah tamat Marhalah Taarif 1 dan layak memimpin usrah telah menghadiri tamrin yang berlangsung dari pukul 8:15 pagi sehingga 2:15 petang ini, semalam.

Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan Muslimat PAS Pahang, Ustazah Hamidah Daud berkata, program ini bertujuan menyelaras perjalanan dan memperkasa marhalah usrah yang menjadi bekalan perlu bagi setiap pemimpin.

“Lajnah berhasrat untuk melahirkan Muslimat PAS yang memiliki thaqafah (pengetahuan) dan keupayaan mengupas tajuk perbincangan dengan baik,” ujar beliau.

Tamrin dibuka tirainya dengan kupasan bertajuk ‘Tugas dan Akhlak Ahli PAS serta Tanggungjawab Memperkasa Jati Diri’ oleh Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Noor.

Beliau menekankan agar semua Muslimat bersedia menjadi Ansarullah 12K dan memenuhi prasyarat AKIFI serta bersedia ditarbiyah dan berada dalam perjuangan yang sebenarnya selain berani berhadapan dengan mehnah.

Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan pula dalam slot bertajuk ‘Persiapan Para Da’ie Dalam Kepelbagaian Uslub dan Sasaran Dakwah’ menyuntik kepentingan seorang da’ie melengkapkan dirinya.

Iaitu bentangnya, melalui tiga perkara yakni membina hubungan yang baik dengan Allah menerusi qiyajullail agar mampu memikul beban berat dakwah ini, membina keimanan mantap dan kefahaman jelas dengan memiliki ilmu dan mesti belajar.

Ketua Unit Manhaj Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan PAS Pusat, Ustaz Mohd Hazmi Dibok pula dalam slotnya telah menjelaskan mengenai kepentingan tarbiyah dan dakwah dalam konteks pilihan raya.

Program tamrin julung kalinya diadakan tahun ini telah diakhiri dengan rumusan oleh Naib Ketua Muslimat PAS Pahang, Ustazah Alawiah Kasdan yang menggesa peserta memahami sepenuhnya tujuan marhalah usrah.

“Jadikan pertemuan setiap usrah, satu pertemuan yang dinanti-nantikan dan yang menyeronokkan kerana dengan usrahlah, kita banyak berubah dari yang kurang baik kepada yang lebih baik,” ajaknya. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: