Astro Awani
Calon
Timbalan Speaker Dewan Rakyat daripada Barisan Nasional (BN), Datuk
Seri Ahmad Maslan menggariskan 20 cadangan transformasi Parlimen
sekiranya dipilih menjawat jawatan itu. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR:
Calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat daripada Barisan Nasional (BN),
Datuk Seri Ahmad Maslan menggariskan 20 cadangan transformasi Parlimen
sekiranya dipilih menjawat jawatan itu.
Beliau
mencadangkan supaya setiap Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan dan
Pembangkang disediakan seorang pegawai penyelidik bagi membantu membuat
kajian dasar, ucapan, soalan dan yang berkaitan dengan tugasan di Dewan
Rakyat.
Selain
itu, Ahli Parlimen Pontian itu turut mencadangkan supaya mengemas kini
Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat agar lebih sesuai, terkini dan
relevan dengan kehendak semasa.
Beliau
yang juga Setiausaha Agung UMNO itu turut mencadangan agar mewujudkan
seorang lagi Timbalan Yang di-Pertua (Timbalan Speaker) menjadikannya
tiga orang.
“Timbalan Speaker ketiga
dikhususkan untuk wakil Pembangkang. Sementara itu, satu daripada tiga
Timbalan Speaker seeloknya daripada Sabah atau Sarawak," ujarnya.
Dalam
satu kenyataan, beliau juga mencadangkan supaya Parlimen melanjutkan
masa persidangan yang rasmi antara 10.00 pagi hingga 5.30 petang kepada
10.00 pagi hingga 6.30 petang.
“Tambahan
sejam ini adalah bagi membolehkan Ahli Parlimen diberikan peluang masa
yang cukup untuk berbahas. Ini tidak termasuk masa-masa tambahan hingga
sebelah malam jika diperlukan.
Menambah Masa Pertanyaan Menteri (MQT) daripada 30 minit pada hari Selasa dan Khamis kepada 40 minit,” katanya lagi.
Ahmad
menjadi calon tunggal blok kerajaan bagi mengisi kekosongan jawatan itu
selepas Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said meletak
jawatan.
Beliau dijangka dicabar seorang
lagi calon Timbalan Speaker, mewakili blok Pakatan Harapan (PH) dan
pembangkang iaitu Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming.
Usul memilih Timbalan Speaker dijadual berlangsung Selasa ini sebaik selesai sesi jawab lisan yang bermula jam 10 pagi.
Berikut senarai 20 cadangan yang dikemukakan Ahmad Maslan:
1.
Menyediakan setiap Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan / Backbenchers dan
Pembangkang seorang pegawai penyelidik bagi membantu membuat kajian
dasar, ucapan, soalan dan yang berkaitan dengan tugasan di Dewan Rakyat.
2.
Mengemaskini Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat/Standing Orders
agar lebih sesuai, terkini dan relevan dengan kehendak semasa.
3.
Mewujudkan seorang lagi Timbalan Yang di-Pertua / Timbalan Speaker
menjadikan tiga orang yang mana Timbalan Speaker ke-tiga dikhususkan
untuk wakil Pembangkang. Sementara itu, satu daripada tiga Timbalan
Speaker seeloknya daripada Sabah atau Sarawak.
4.
Parlimen terlibat dengan aktif dalam memberi pendidikan demokrasi
kepada seberapa ramai rakyat melalui seminar, wacana, pameran, dialog,
lawatan dan libat urus/engagement.
5.
Mewujudkan Program Parlimen Pelajar untuk mereka yang di Tingkatan 4
hingga 6 bagi menambah kepada Program Parlimen Belia dan Parlimen
Mahasiswa yang ada sekarang. Penglibatan Wanita adalah sangat
digalakkan dalam ketiga-tiga Program Parlimen itu. Langkah ini sesuai
dengan Undi18.
6. Melanjutkan masa
persidangan yang rasmi antara 10.00 pagi hingga 5.30 petang kepada 10.00
pagi hingga 6.30 petang. Tambahan sejam ini adalah bagi membolehkan
Ahli Parlimen diberikan peluang masa yang cukup untuk berbahas. Ini
tidak termasuk masa-masa tambahan hingga sebelah malam jika diperlukan.
Menambah Masa Pertanyaan Menteri (MQT) daripada 30 minit pada hari
Selasa dan Khamis kepada 40 minit.
7.
Memastikan minima 12-15 soalan lisan dapat dijawab dalam masa 120 minit
sesi pertanyaan dengan had sekitar masa 8-10 minit untuk setiap soalan.
Ini bermakna sesi Pertanyaan Lisan ditambah daripada sejam setengah
kepada dua jam.
8. Memastikan ucapan Ahli
Parlimen untuk dasar penting diberikan sekurang-kurangnya 20-30 minit
dan jika perlu tambahan sehingga ke sebelah malam bagi memenuhi
keperluan 20 minit itu. Perbahasan penting adalah seperti Usul Titah
Menjunjung Kasih Diraja, Belanjawan, Pindaan Perlembagaan, Rancangan
Malaysia, RUU baru seperti Akta Pendanaan Politik dan seumpamanya.
9.
Rang Undang-undang yang ingin dibentangkan hendaklah diberi minima 5
hari kepada Ahli Parlimen sebelum Rang Undang-Undang itu dibahaskan bagi
membolehkan Ahli Parlimen cukup masa untuk membuat kajian dengan syarat
kerahsiaan dan Embargo diletakkan.
10.
Memperuntukkan RM60,000.00 setahun dengan kiraan RM5,000.00 sebulan
kepada Ahli Parlimen Pembangkang dan Ahli Parlimen Bebas untuk
menguruskan Pusat Khidmat di kawasan masing-masing. Peruntukan itu
dianggar mencukupi untuk elaun dua staf dan sewa sebuah pejabat.
11.
Mengadakan Hari Terbuka Kementerian secara berkala di Parlimen untuk
Ahli Parlimen bertemu secara terus dengan Menteri, Timbalan Menteri,
Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-ketua Pengarah dengan penjadualan
yang tersusun pada setiap kali sesi sidang.
12.
Sesi Kamar Khas perlu ditambah waktu dan diadakan pada setiap hari pada
sebelah petang dengan membenarkan Ahli Parlimen bertanya soalan
tambahan dan disiarkan juga secara langsung oleh media perdana.
13.
Mengadakan latihan pendedahan media sosial kepada Ahli Parlimen dan
Kakitangan Ahli Parlimen dan juga latihan komunikasi, pengurusan,
antarabangsa serta ilmu terkini yang relevan dari masa ke semasa.
14.
Menambah bilangan Jawatankuasa Pilihan Khas yang meliputi pendidikan,
agama, sosial, pekerjaan, perumahan, indeks gaji, gejala sosial, bisnes
online, kesihatan, ekonomi, kewangan, pembangunan tanah, pelaburan, alam
sekitar, mencari pendapatan baru kerajaan dan lain-lain yang sesuai.
15.
Menyokong cadangan kerajaan untuk Transformasi Parlimen sebagaimana
yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 10 September 2020,
iaitu:-
i. Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen
ii.
Pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik dalam
tempoh terdekat. Justeru, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan
akan dibentangkan.
iii. Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
iv. Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.
v.
Setiap Rang Undang-Undang termasuk RUU Perbekalan yang dibentangkan di
Parlimen akan dirunding dan dipersetujukan secara bersama.
vi.
Ahli Parti Pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara
(MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.
vii. Ketua Pembangkang diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri.
16.
Setiap Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan / Backbenchers dan Pembangkang
diberikan peruntukan khas untuk sesi Townhall/libat urus dengan rakyat
dan pemegang taruh di kawasan bagi mendapatkan pandangan untuk isu
pembangunan, kebajikan rakyat dan Rang Undang-Undang baru.
17.
Mencadangkan agar Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas diberi elaun kehadiran
mesyuarat atau apa-apa elaun khas dengan jumlah yang kecil namun
munasabah dengan kekerapan mesyuarat yang sesuai.
18.
Mencadangkan agar Sesi Dialog dengan rangkaian media arus perdana
diadakan secara berkala melibatkan Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan /
Backbenchers dan Pembangkang untuk memberikan pandangan mengenai isu-isu
semasa.
19. Meletakkan adab dan
tatasusila yang tinggi dalam perbahasan agar imej Parlimen dihormati
pada pandangan rakyat bagi mengelakkan Parlimen dianggap sebagai “sarkas
ahli politik”.
20. Menghidupkan kembali
Akta Perkhidmatan Parlimen supaya Parlimen mempunyai autonomi daripada
segi peruntukan, tanggungjawab, kebajikan kakitangan dan perjawatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan