HALAMAN SANTAI

Isnin, 13 September 2021

Majlis Presiden PH akui ada pertemuan dengan wakil PM

Astro Awani
Majlis Presiden PH akui ada pertemuan dengan wakil PM
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengakui ada pertemuan antara pihak mereka dengan wakil Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
 
KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengakui ada pertemuan antara pihak mereka dengan wakil Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
 
PH dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan bahawa, pertemuan tersebut telah berlangsung pada Jumaat.
 
Pakatan Harapan juga memberi pandangan dan cadangan tambahan kepada tujuh reformasi yang diumum Ismail Sabri semalam.
 
"Pertemuan semalam telah membincangkan sejumlah perkara dasar dan program khusus di mana penekanan juga diberikan kepada keperluan menjalankan reformasi dalam bidang ekonomi dan kesihatan awam bagi menangani pandemik COVID-19.
 
"Selain itu, isu urusan perjalanan Parlimen, soal pengabsahan, dan perkara berkaitan penambahbaikan tatakelola Kerajaan turut dibincangkan," kata kenyataan bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
 
PH juga berpendirian bahawa suntikan fiskal tambahan sebanyak RM45 bilion perlu dibuat kepada Dana COVID-19 RM65 bilion yang kini hanya berbaki RM8.6 bilion untuk menangani pandemik COVID-19 dan memberikan bantuan kewangan kepada rakyat.
 
"Di samping itu perlunya ada pengecualian bayaran faedah ke atas moratorium pinjaman bank
untuk golongan B40 dan M40.
 
"Majlis Presiden turut membincangkan langkah-langkah reformasi politik yang perlu disertakan di
dalam memorandum tersebut, seperti memperkasakan pelaksanaan Undi 18 sekarang, reformasi Parlimen dan kebebasan institusi kehakiman, antara lain.
 
"Wakil-wakil turut telah membincangkan isu undi percaya serta mekanisme pemantauan pelaksanaan memorandum persefahaman ini," kata kenyataan itu lagi.
 
Selain itu, PH secara dasarnya juga cenderung untuk mempersetujui memorandum persefahaman itu demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat, tertakluk kepada perincian penambahbaikan deraf yang perlu diperhalusi wakil kedua-dua pihak sebelum boleh dimuktamadkan.
 
"Marilah kita menggembleng seluruh kekuatan untuk menangani pandemik COVID-19 dan
mengatasi kemelesetan ekonomi yang melanda negara kita," ujar kenyataan tersebut.
Siri pertemuan di antara wakil Pakatan Harapan dan wakil Perdana Menteri, terdiri daripada:
 
Wakil Perdana Menteri:
• Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Dalam Negeri
• Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli
• Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen
dan Undang-Undang)
• Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia
• Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan
 
Wakil Pakatan Harapan:
• Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung KEADILAN
• Datuk Seri Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden AMANAH
• Anthony Loke, Setiausaha Organisasi DAP
• Gobind Singh Deo, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP
• Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Penerangan KEADILAN
• Fahmi Fadzil, Pengarah Komunikasi KEADILAN

Tiada ulasan: