HALAMAN SANTAI

Isnin, 13 September 2021

MoU antara kerajaan dan PH buka peluang perbincangan hala tuju lebih baik - Mas Ermieyati

Astro Awani
MoU antara kerajaan dan PH buka peluang perbincangan hala tuju lebih baik - Mas Ermieyati
Datuk Mas Ermieyati Samsuddin menjelaskan, usaha reformasi parlimen itu akan dapat memastikan perbincangan tentang hala tuju yang lebih baik, holistik dan dinamik. - Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) dapat memberi peluang kepada pembangkang untuk mengemukakan pandangan mereka dalam usaha ke arah pemulihan negara.
 
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin menjelaskan, usaha reformasi parlimen itu akan dapat memastikan perbincangan tentang hala tuju yang lebih baik, holistik dan dinamik.
 
"Selaras dengan apa yang dititah oleh Yang di-Pertuan Agong untuk kita sama-sama memberi fokus pada usaha pemulihan negara dan melihat pandemik ini dapat membantu rakyat.
 
"Esok hari pertama persidangan dewan rakyat, kita akan saksikan kehadiran Seri Paduka Baginda yang akan bertitah dan banyak siri lain lagi pada persidangan ini dan saya harap persidangan kali ini adalah yang baik dan dengan adanya memorandum bipartisan ini, tidak akan memberikan kekurangan kepada pihak pembangkang, malah ia akan memberikan kelebihan kepada mereka dan keuntungan kepada mereka tanpa mereka mengetepikan ideologi masing-masing," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.

Ujarnya, perbincangan antara kedua-dua pihak itu memberi peluang kepada pembangkang mengemukakan apa jua pandangan mereka untuk bersama-sama membentuk Malaysia yang lebih baik.
 
Pada masa sama, katanya pihak pembangkang juga tidak semestinya menyokong semua pandangan kerana mereka boleh bersetuju untuk tidak bersetuju.
 
Namun dalam aspek yang lebih besar lagi, katanya, kerajaan dan pembangkang akan dapat melaksanakan perpaduan tanpa perlu bersatu.
 
"Apabila adanya perbincangan ini, ia memberikan harapan dan kesempatan kepada kerajaan dan pembangkang untuk sama-sama membincangkan tentang hala tuju yang lebih baik, holistik dan dinamik.
 
"Ini memberi peluang juga kepada pembangkang untuk melontarkan apa jua pandangan mereka untuk bersama memberikan Malaysia yang lebih baik," tambahnya

Tiada ulasan: