HALAMAN SANTAI

Selasa, 14 September 2021

Mou bersama PH untuk kembalikan kestabilan politik negara

HARAKAH DAILY
 

KUALA LUMPUR: Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) bertujuan mengembalikan kestabilan politik negara bagi menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi menerusi pendekatan kerjasama ‘dwipartisan’.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berharap langkah yang diusahakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu diterima baik semua pihak.

“Selain itu, memorandum persefahaman itu juga menasihati pembangkang supaya membangkang tidak hanya berteraskan pertimbangan politik, sebaliknya mempertimbang hasrat memastikan kestabilan (negara) supaya semua pihak boleh fokus kepada agenda lebih penting.

 “Ia bukan untuk kuasa, tetapi membantu kita yang diberi amanah memimpin kementerian tertentu dan menerajui pentadbiran negara supaya fokus dan berusaha membawa negara keluar daripada Covid-19 secepat mungkin menerusi tiga teras berhubung kait dengan kesihatan, ekonomi dan kesejahteraan,” katanya dalam sidang media khas di Wisma Pertahanan, di sini.

Hari ini, kerajaan Persekutuan dan PH melakar sejarah negara apabila buat pertama kali menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik di Bangunan Parlimen.

MoU berkenaan yang membentuk satu kerjasama ‘dwipartisan’ dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, mempunyai enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu. – BERNAMA

Tiada ulasan: