HALAMAN SANTAI

Selasa, 14 September 2021

MoU tak ubah pendirian ‘no DAP, no Anwar’ Umno, kata Shahril

Shahril Hamdan menegaskan persefahaman berkenaan juga tidak akan menghakis 
persepsi antara kedua-dua pihak dalam sekelip mata.

PETALING JAYA: Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengubah pendirian Umno berhubung “no DAP, no Anwar”, kata Ketua Penerangannya, Shahril Hamdan.

Malah beliau berkata, Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 pada Mac lalu juga menetapkan tiada sebarang kerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Jika ada sebarang perubahan dasar, ia hanya boleh dibuat oleh PAU atau Majlis Kerja Tertinggi (MKT). Persefahaman ini bukan kerjasama untuk berkongsi kuasa dengan PH, jauh sekali untuk mengangkat mereka menerajui negara.

“Ia untuk kestabilan politik pada situasi unik sekarang; buat masa sekarang, tidak lebih, tidak kurang daripada itu,” katanya dalam catatan di Facebook.

Beliau menegaskan persefahaman berkenaan juga tidak akan menghakis persepsi antara kedua-dua pihak dalam sekelip mata, malah masing-masing akan terus berjaga-jaga terhadap tindakan “lawan”.

“Adakah begitu mudah kita percaya dengan PH? Tahap skeptikal antara kerajaan dan pembangkang tidak hilang sekelip mata. Masing-masing akan melihat tindakan pihak lain.

“Masih ada ruang untuk PH tidak mengotakan janji membantu kerajaan, jadi amat bersetuju dengan Shamsul Anuar Nasarah (naib presiden Umno) yang mengingatkan agar kerajaan berwaspada. Ia bukan lesen untuk selesa di tampuk kuasa menganggap takkan dikritik mahupun dibangkang,” katanya.

Beliau turut memberi keyakinan bahawa pembangkang akan terus menjalankan peranannya dalam mengkritik dan sebagai semak imbang kepada kerajaan.

Pada dasarnya, Shahril berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) mampu meraih kelebihan dalam MoU berkenaan kerana kerajaan pada hari ini dipimpin oleh Umno.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob agar tidak mensia-siakan peluang untuk berkhidmat sebaik mungkin atau bakal dihukum pada PRU15 jika terus dipalit kegagalan.

“Apapun, segalanya masih tertakluk kepada prestasi kerajaan dan pengadilan rakyat. Namun, jika kerajaan berprestasi cemerlang, imej Umno juga meningkat,” katanya.

Tiada ulasan: