HALAMAN SANTAI

Ahad, 12 September 2021

MP DAP gesa Azalina ganti Azhar, juga sokong Ahmad Maslan?


Seorang Ahli Parlimen (MP) DAP, Ngeh Koo Ham menggesa supaya Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun diganti dengan MP UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said walaupun tiada usul dibawa dalam persidangan yang akan bermula esok.

Gesaan MP Beruas itu secara tidak langsung menimbulkan spekulasi berkemungkinan blok pembangkang akan menyokong pencalonan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker baharu esok.

Pemimpin DAP Perak itu mengkritik tindakan Timbalan Speaker Datuk Mohd Rashid Hasnon yang menolak pencalonan Azalina selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghantar usul tersebut sebagai tidak wajar.

“Sekiranya Ahli Parlimen mencadangkan atau memutuskan penukaran speaker atau timbalan speaker, speaker dan timbalan speaker tidak mempunyai kuasa untuk menolak sebarang perubahan yang dicadangkan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

DAP sebelum ini juga secara terbuka memberi sokongan kepada Azalina untuk menjadi Speaker Dewan Rakyat bagi menggantikan Azhar.

Pada masa sama, Koo Ham turut mendesak Zahid untuk mengemukakan usul di bawah Aturan Mesyuarat 43 untuk terus memberi tekanan bagi memastikan pencalonan Azalina dibawa ke Dewan Rakyat.

Rashid sebelum ini menolak usul MP Lembah Pantai, Fahmi Fadzil untuk menyingkirkan Azhar sebagai Speaker.

“Ini adalah penghinaan terhadap institusi demokrasi tertinggi di negara kita,” kata Koo Ham lagi berhubung tindakan menolak usul menggantikan Azhar itu.

Esok dijadualkan akan berlangsung pengundian untuk memilih Timbalan Speaker baharu, terdapat dua calon ketika ini iaitu MP Pontian Ahmad Maslan dan MP Teluk Intan Nga Kor Ming.

Sekiranya DAP menyokong Azalina dari UMNO sebagai Speaker baharu, mengapa mereka mencalonkan Kor Ming sebagai calon alternatif kepada Ahmad, bukankah sepatutnya mereka terus sahaja menyokong wakil UMNO yang juga kluster mahkamah menjadi Timbalan Speaker baharu?

Tiada ulasan: